KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerja-kerja mengatasi gangguan sistem operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur masih dijalankan sehingga kini.

Sehingga jam 8 pagi tadi, kerja-kerja berkenaan masih dijalankan oleh semua kakitangan malah aktiviti penggantian peralatan juga telah dibuat.

“Dimaklumkan bahawa MAHB telah menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan termasuklah penggantian perkakasan yang bermasalah dan MAHB telah melanjutkan waktu operasi untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kami berharap masalah ini boleh diselesaikan dengan secepat mungkin. Terima kasih kepada pekerja lapangan terbang KLIA yang bekerja lebih masa untuk memperbaiki keadaan ini,” kata Anthony.

KLIA sejak semalam mengalami gangguan sementara melibatkan beberapa sistemnya.

Keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan operasi penerbangan.

Gangguan itu termasuklah membabitkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan dan kaunter mengambil bagasi.

FB_IMG_1566522269929Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata MAHB telah menggunakan 38 petak tempat letak kapal terbang bagi menampung pesawat yang tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Berikutan itu, MAHB juga menyediakan empat bas tambahan bagi syarikat penerbangan untuk memudahkan pergerakan penumpang untuk membawa penumpang tempat letak kapal terbang dari terminal dan sebaliknya.

“Ini untuk memudahkan aliran penumpang yang terjejas di pintu masuk penerbangan yang ditangguhkan,” kata Kementerian Pengangkutan lagi.

Sejak semalam, sebanyak 20 penerbangan yang dilaporkan ditangguh di terminal utama KLIA termasuklah ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong.

Gangguan itu telah menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS). -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bayangkan .. terlalu rakus mengejar kecanggihan teknologi cloud dan pelbagai.. lalu terpaku ,apabila terlupa bahawa khidmat Manusia masih lagi diperlukan, Maintanance xde .. pasukan pemantau backup xde.. atau dah x upgrade..
    Siap adakan Solat Hajat lepas Jumaat Tadi.. bernama melaporkan

Comments are closed.