Takefusa Kubo (tengah).

MADRID – Bintang muda Jepun, Takefusa Kubo yang baru sahaja menyertai Real Madrid pada awal musim sah dipinjamkan ke Real Mallorca selama setahun.

Perancang tengah dari negara matahari terbit itu dilaporkan telah selesai menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak bersama kelab yang baru dinaikkan ke La Liga tersebut.

Sebelum ini terdapat juga ura-ura mengatakan Kubo akan dipinjamkan ke Real Valladolid namun rundingan itu tidak berjaya atas sebab-sebab tertentu.

Perpidahan Kubo ke sebuah kelab gergasi Eropah itu sebelum ini mengujakan banyak pihak terutama peminat bola sepak Jepun yang mahu melihat pemain yang diberi jolokan Messi Jepun bermain di salah satu liga terbaik di dunia.

Namun demikian, pengumuman pengurus Real, Zinedine Zidane yang membuat keputusan tidak popular agar Kubo ‘diperam’ ke pasukan Real Madrid Castilla iaitu pasukan simpanan untuk beraksi dalam Liga Segunda B nyata tidak disenangi peminat dan pemerhati bola sepak.

Kebanyakannya berpendapat, Kubo perlu diberikan pendedahan serta peluang untuk beraksi dalam perlawanan-perlawanan di liga utama supaya potensinya semakin berkembang.

Pemain berusia 18 tahun itu sudah pun membuktikan keupayaannya untuk beraksi di peringkat tertinggi ketika menampilkan aksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan Jepun pada kejohanan Copa America beberapa bulan lalu.

Ketibaan Kubo ke Real Mallorca menjadikan beliau pemain ketiga dari Jepun yang menyertai kelab Sepanyol itu selepas Yoshito Okubo dan Akihito Ienaga. – MalaysiaGazette