ADUN Balakong, Wong Siew Ki bercakap kepada media mengenai kenyataan Pos Malaysia di Pusat Khidmat ADUN Balakong, Balakong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019

BALAKONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki menyatakan pendiriannya tetap tidak menyokong pengajaran tulisan khat dan jawi dalam subjek Bahasa Melayu tahun 4 di semua sekolah.

Beliau berkata, para pelajar aliran Cina tidak perlu untuk dibebankan dengan mempelajari kaedah baharu itu kerana mereka sememangnya sudah terbeban dengan mata pelajaran lain.

“Saya sendiri tidak setuju bukan kerana apa-apa sebab. Sebelum saya ceburi politik saya adalah cikgu tuisyen. Budak-budak sekarang ada banyak kerja.

“Dalam buku teks yang ada di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) ada banyak benda mereka kena belajar. Takkan kita nak letak semua benda dalam buka teks itu. Saya rasa ia akan membebankan,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat di sini hari ini.

Siew Ki berkata, pengenalan mata pelajaran jawi dan khat kepada para pelajar aliran SJKC merupakan satu perkara yang baik namun jika ia hendak dimuatkan ke dalam buku teks perkara itu adalah tidak wajar.

Ujarnya, meskipun silibus berkenaan merupakan mata pelajaran pilihan tetapi ia boleh mengelirukan pelajar kerana kebiasaannya mereka akan cuba menguasai apa yang ada di dalam buku teks.

“Kalau ia bukan di dalam buku teks tidak mengapa tapi bila letak dalam buku teks mereka (pelajar) akan sangka ia subjek yang perlu dihafal,” ujarnya.

Tambah beliau, adalah sebaiknya jika silibus itu dijadikan sebagai satu pembelajaran kokurikulum dengan tidak melibatkan buku-buku pelajaran seperti buku teks.

Ini kerana katanya, kebanyakan ibu bapa menganggap silibus yang dimasukkan ke dalam buku teks adalah penting dan ia bukan satu perkara pilihan.

“Disebabkan Kementerian Pendidikan sudah membuat keputusan dan ia melibatkan pemimpin Pakatan Harapan, saya percaya kepada pemimpin saya dan saya tidak bantah perkara ini.

“Ramai pelajar Cina pun ada kata mereka tidak boleh belajar mata pelajaran ini dan menganggap ia sangat berat.

“Biarlah fokus dengan apa yang dipelajari sekarang ini. Biar mereka kuasai apa-apa bahasa dulu sebelum kita kenalkan mereka kepada benda yang lain,” katanya.

Pertubuhan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 10 Ogos lalu melancarkan petisyen membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular atas alasan ia tidak diterima oleh komuniti bukan Islam dan mendakwa ia bercanggah dengan Artikel 12 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian Pendidikan sebelum itu mengumumkan mengkaji semula rancangan untuk memperkenalkan enam muka surat pelajaran khat dalam buku teks bahasa Melayu Tahun 4 tahun depan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.