Sistem pertahanan peluru berpandu, Patriot buatan Amerika Syarikat.

WASHINGTON – Tempoh tawaran Amerika Syarikat (AS) bagi menjual sistem pertahanan peluru berpandu kepada Turki telah tamat berikutan keputusan Ankara untuk menerima sistem pertahanan S-400 buatan Rusia, kata pegawai Jabatan Negara.

Ankara dan Washington berada dalam konflik sejak beberapa tahun berikutan minat Turki terhadap sistem S-400 yang mana para pegawai AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berakta, ia tidak sesuai dengan pertahanan NATO dan memberi ancaman kepada jet pejuang stealth F-35 kendalian AS dan negara rakannya.

AS memulakan proses menyingkirkan Turki sebagai rakan dalam program pesenjataan pada April lalu selepas Ankara berkata ia tidak akan membatalkan pembelian S-400.

Berikutan itu ketegangan meningkat pada Julai apabila Turki menerima penghantaran peluru berpandu Rusia yang pertama.

Washington telah memberi amaran ia akan melaksanakan sekatan dengan menyingkir Turki daripada program F-35, walaupun ia masih belum dilakukan lagi, lapor Reuters.

Pegawai Jabatan Negara berkata, AS telah berulang kali memberitahu Turki bahawa tawaran tersebut akan luput jika Ankara meneruskan pembelian sistem Rusia itu.

“Kami secara konsisten memberi tahu Turki bahawa tawaran terbaharu Patriot akan luput juka ia menerima penghantaran sistem S-400. Tawaran Patriot kami telah tamat,” kata pegawai itu.

Penjualan alat ketenteraan AS berdasarkan terma spesifik yang menghadkan harga serta jangka waktu. Dalam kes ini, termanya luput apabila Ankara menerima komponen awal sistem S-400. – Agensi