Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran tidak membantah hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni Khat di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT).

Malah beliau juga tidak membantah sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan kaligrafi Cina dan tulisan Tamil di sekolah-sekolah pondok di negara ini.

Sebaliknya beliau menegaskan, sekiranya tulisan Jawi tidak dapat difahami oleh pelajar-pelajar Cina dan India, ia sewajarnya tidak diajar kepada komuniti bukan Melayu itu.

“Kita tak bantah kerajaan nak laksana Jawi di SJKC dan SJKT. Mereka nak laksanakan (tulisan) Cina dan Tamil di sekolah pondok pun kita tak bantah, mereka boleh buat.

“Tapi yang penting ialah kerajaan mesti dapatkan maklum balas rasmi dan mesti laksanakan secara tersusun.

“Hari ini kita mempunyai masalah untuk memahami, jika mereka tak faham, tak perlu dilakukan,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-73 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, pertubuhan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 10 Ogos lalu melancarkan petisyen membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular atas alasan ia tidak diterima oleh komuniti bukan Islam dan mendakwa ia bercanggah dengan Artikel 12 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian Pendidikan sebelum itu mengumumkan mengkaji semula rancangan untuk memperkenalkan enam muka surat pelajaran khat dalam buku teks Bahasa Melayu bagi Tahun 4, tahun depan.

Vigneswaran juga menegaskan, sekiranya isu tulisan Jawi terus menjadi polemik, kerajaan sewajarnya meminda dasar pendidikan berkaitan dan tidak perlu dibawa ke Parlimen.

“Ini bukan Akta Parlimen, ini hanyalah dasar, yang tak perlu pergi Parlimen pun, apa nak tukar.

“Ini adalah dasar, tukar saja lah. Buat mesyuarat dalam Kabinet tukar dasar itu cukup,” katanya.

Katanya lagi, pengenalan tulisan Jawi ini boleh diteruskan sekiranya rakyat berketurunan Cina dan India ini tidak mempunyai masalah dengan kaligrafi yang dikaitkan dengan agama Islam itu.

“Tunggu bila rakyat daripada kaum keturunan India dan Cina ini tak ada masalah, bawalah.

“Bagi saya tiada masalah sebab saya lahir daripada sekolah kebangsaan.

“Lebih lama mereka melengahkan perkara ini lebih banyak mereka menderita.

“Apa pun jangan kata perkara ini daripada Kerajaan BN sebab perkara ini bukan Akta Parlimen, tapi ini hanyalah dasar, kalau nak, awak boleh ubah serta-merta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette