Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Gangguan sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Antarabangsa Kuala Lumpur bermula pada 21 Ogos lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil untuk menyelesaikannya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menggantikan peralatan rangkaian yang sedang diuji dan dipantau dengan teliti untuk kestabilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, ada kemajuan positif dalam kestabilan rangkaian sejak penggantian peralatan dibuat.

Sistem kritikal di Terminal Utama KLIA kini sebahagian besarnya sudah beroperasi.

Walau bagaimanapun, Malaysia Airports telah mengambil pendekatan berhati-hati dan akan terus berjaga-jaga kerana masih mengalami beberapa isu sekejap-sekejap.

“Terminal utama KLIA masih mengalami beberapa kelewatan, tetapi keadaannya bertambah baik disebabkan langkah-langkah yang telah disediakan.

“Penghargaan diberikan ke seluruh komuniti lapangan terbang yang terus bersama-sama dalam menghadapi cabaran ini. Kami tidak pernah melihat kerjasama yang lebih baik dalam kalangan syarikat penerbangan yang membantu antara satu sama lain supaya operasi penerbangan dapat diteruskan.

“Sementara itu, sistem di terminal kedua klia2, umumnya tidak terjejas pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Namun tumpuan Malaysia Airports memastikan ketersediaan sistem yang berterusan, pengendali lapangan terbang itu juga memperluaskan semua bantuan kepada syarikat penerbangan dan penumpang.

Terdapat kelewatan penerbangan dan pembatalan, tetapi Malaysia Airports menguruskannya dengan menggunakan semua 38 tempat letak pesawat, serta menyediakan perkhidmatan bas tambahan dan perkhidmatan pengendalian darat untuk syarikat penerbangan dalam memudahkan pergerakan penumpang di lokasi-lokasi.

Malah, lapangan-lapangan terbang lain di seluruh negara juga akan terus melanjutkan waktu operasi mereka sekiranya terdapat penerbangan berlepas dari KLIA.

Malaysia Airports juga menyediakan 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang di lapangan dan menguruskan bagasi.

Malah, Malaysia Airports bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk memastikan bagasi-bagasi dihantar kepada pemilik yang sah.

Tenaga tambahan akan terus wujud sehingga keadaan kembali normal, tambah Raja Azmi lagi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada kesabaran dan sikap tolak ansur orang ramai.

“Kami sangat kesal dengan kesulitan yang telah berlaku. Walaupun keadaan sedang bertambah baik, kami masih menggesa penumpang tiba di terminal sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas dalam beberapa hari akan datang.

“Penumpang juga digalakkan untuk terus menggunakan aplikasi mudah alih atau laman web syarikat masing-masing untuk mendaftar masuk untuk mengelakkan beratur panjang di lapangan terbang, dan mendapatkan bantuan kakitangan lapangan terbang berhubung butiran penerbangan dan kemas kini maklumat melalui platform media sosial Malaysia Airports atau siaran berita seterusnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.