Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hairan dengan tindakan segelintir pihak yang terlalu memberi perhatian dengan isu pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya sebaliknya berkata, terdapat ramai lagi mubaligh luar Kristian yang hadir ke negara ini sebelum ini.

Tegas beliau, golongan itu juga sepatutnya diberi perhatian oleh pihak yang berminat dengan Zakir selama ini.

“UMMAH berpendapat tiada sebab pun Zakir perlu dihantar pulang ke India. Apa yang berlaku apabila laporan yang disalahtafsir oleh satu portal apabila tidak mengambil keseluruhan kenyataan oleh Zakir.

“Jadi kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan tidak menghantar pulang Zakir.

“Kalau Zakir dikatakan ancaman kepada negara, ramai lagi mubaligh Kristian yang bebas datang ke negara dan itu juga yang perlu diberi perhatian,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di sini hari ini.

Aminuddin diminta mengulas pendirian UMMAH terhadap Zakir yang kekal untuk menetap negara ini selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, desakan agar Zakir dihantar pulang dan tidak dibenarkan berceramah di negara ini semakin galak apabila beliau dilapor mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan dan kedudukan masyarakat Cina ketika berucap pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Bagaimapun penceramah itu menafikan berkata demikian sebaliknya penceramah kelahiran India itu menyifatkan apa yang beliau sampaikan telah disalah tafsir.

Gara-gara kontroversi, Zakir dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan sebanyak tiga kali. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.