KUANTAN – Pembukaan persimpangan bertingkat Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di sini menjadi akses baharu menyokong pertumbuhan kluster industri, perdagangan dan logistik yang merangkumi Pelabuhan Kuantan, MCKIP, kawasan perindustrian Gebeng dan Bandar Pelabuhan Kuantan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, akses baharu ini diharap dapat merancakkan pelaburan di kawasan sekitar Pelabuhan Kuantan, menggalakkan pengembangan operasi sedia ada serta memperkukuh peranan Pahang sebagai salah satu pintu masuk utama kepada ekosistem pelaburan ECER.
“Terima kasih kepada pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi yang telah banyak membantu untuk merealisasikan projek Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan mengikut perancangan.
“Jaringan pengangkutan ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk datang ke negeri Pahang kerana kita sekarang memberi tumpuan kepada infrastruktur supaya ia boleh memberi kebaikan, kemudahan dan keselesaan kepada pelabur.
“Lebih-lebih lagi kita dalam perancangan untuk perbesar Pelabuhan Kuantan dan Bandar Aeroangkasa di Gebeng yang berhampiran dengan sini. Ini adalah satu kejayaan untuk negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan di Plaza Tol Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengunjurkan pembinaan Bandar Aeroangkasa di sini, akan bermula dalam tempoh 10 tahun.
“Tapi sehingga pembinaan bermula nanti, kita akan buat dahulu pembangunan kedai komersil serta perumahan di sekitar kawasan itu. Jadi, apabila siap nanti, segala kemudahan seperti apartment, kondominium dan sebagainya sudah tersedia. Sekarang kita dalam proses lantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),” katanya lagi.
Sebagai rekod, Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan termasuk dalam jajaran Jalan Kuantan Port City (KPC) Port Link sepanjang 11.5 kilometer (km) merangkumi 10.1 km di negeri Pahang dan 1.4 km di negeri Terengganu dilaksanakan secara berfasa melalui lima pakej utama dengan peruntukan keseluruhan RM400 juta.
Manakala, Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya pada 4 September 2026, jam 6.00 pagi. – MalaysiaGazette
















