KOTA BHARU – Pemuda Pas Perlis menggesa pucuk pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan tindakan tegas terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang didakwa semakin mencalarkan imej PN dan Pas di negeri itu.
Perwakilannya, Ali Na’imi Ahmad Azizi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana Perlis ditadbir kerajaan PN bersama Pas, namun wakil rakyat daripada Pas didakwa dilayan seperti pembangkang.
Malah, katanya, kerajaan negeri turut didakwa mengambil tindakan terhadap beberapa lantikan politik daripada PAS, termasuk ahli majlis.
“Kami Pemuda Pas Perlis hari ini memohon kepada pimpinan Pas serta PN untuk mempertimbangkan satu tindakan yang keras kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis yang sekarang ini kerana semakin lama semakin dilihat mencalarkan imej PN dan secara tidak langsung kepada Pas Perlis sendiri.
“Memandangkan negeri Perlis merupakan kerajaan PN dan Pas, kami Pemuda kini merasa kerajaan negeri seolah-olah melayani Adun-Adun Pas kita seperti pembangkang.
“Kerajaan negeri juga dilihat mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap lantikan-lantikan politik daripada kalangan ahli Pas kita seperti ahli majlis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat Kali Ke-67, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Ali Na’imi berkata, cabaran sebenar agenda penyatuan yang diperjuangkan PAS bukan hanya untuk mencapai kejayaan, tetapi memastikan kesatuan terus kukuh apabila kejayaan mula diraih.
Menurutnya, ketika belum mencapai kejayaan, anggota mudah bersatu atas matlamat sama kerana sanggup berdepan kesusahan, berkorban masa dan menghadapi tentangan bersama.
“Namun, apabila Allah mula memberikan kejayaan, hadir pula ujian yang jauh lebih halus iaitu jawatan, kedudukan, pengaruh, penghormatan dan pengiktirafan,” katanya.
Beliau berkata, perebutan jawatan dan pengaruh boleh menjejaskan hubungan sesama anggota sekiranya tidak dikawal dengan akhlak serta disiplin.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya perbezaan pandangan dan teguran tidak dijadikan alasan untuk memutuskan persahabatan atau mencetuskan perpecahan dalam parti.
“Jangan kerana jawatan kita kehilangan sahabat, jangan kerana kekecewaan kita kehilangan adab dan jangan kerana pandangan tidak diterima kita mula mengadu domba,” ujarnya.
Ali Na’imi berkata, pengalaman yang dilalui Pemuda Pas Perlis wajar dijadikan ibrah dan pengajaran, bukannya dijadikan medan untuk membuka aib mana-mana pihak.
Katanya, pemimpin bukan maksum dan teguran tetap diperlukan, namun perbezaan pandangan perlu disampaikan dengan adab, disiplin serta tertib dalam sebuah gerakan yang tersusun. – MalaysiaGazette
















