Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang yang didakwa menganggu tugas penjawat awam bukti wujud campur tangan wakil rakyat Pakatan Harapan di terhadap keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT) .

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan situasi tersebut tidak sepatutnya wujud dalam pentadbiran.

Katanya, sepatutnya Mazlan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa bertindak neutral dan tidak cenderung memberikan perlindungan kepada mana-mana pihak berkepentingan.

“Sewajibnya beliau bertindak secara neutral dan tidak mempamerkan kecenderungan dan memberi perlindungan langsung kepada mana-mana operasi perniagaan.

“Apatah lagi jika sesuatu operasi perniagaan tersebut sudah didapati tidak sihat dan disita oleh pihak berkuasa. Sudah tentulah keputusan menyita kilang tersebut oleh pihak berkuasa adalah berdasarkan alasan-alasan yang kuat demi kebaikan semua,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Penjawat awam tersebut mendakwa Mazlan mengeluarkan arahan agar kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang yang telah disita dan ditutup dibenarkan beroperasi semula.

Untuk rekod, pada 11 Julai lalu operasi bersepadu menggempur kilang haram di Pasir Gudang yang disertai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin diadakan.

Beberapa kilang haram dilaporkan diarah untuk mengehentikan operasi.

Operasi itu dilakukan susulan terdapat kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang sebelum ini.

Khaled menyifatkan Mazlan sebagai wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab apabila menggunakan kedudukannya untuk mengugut penjawat awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini.-MalaysiaGazette