Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Seminar Antarabangsa Nilai Keagamaan Dalam Mencegah Ekstremisme Ganas di Dewan Senate, UIAM, Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

GOMBAK – Kerajaan Malaysia tidak akan tunduk atau terikat kepada tuntutan mana-mana pihak yang mendesak agar penceramah agama antarabangsa, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya, India.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan sama ada mahu mengusir Zakir atau sebaliknya adalah hak kerajaan kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Bagi saya, itu tidak bermakna kita akan terikat dengan apa-apa pandangan mereka, kerana kita bertindak atas dasar ‘the rules of law’, undang-undang sedia ada, kalau ia sesuai, undang-undang itu akan diguna pakai.

“Tapi sebelum tindakan dibuat atau hukuman dijatuhkan, macam biasa, siasatan terperinci mesti dilakukan supaya ada keadilan dalam interpretasi ‘the rules of law’.

“Bukan sesuka hati atau satu pihak suruh buat itu kita tidak akan terikat dengan tuntutan mana-mana pihak kecuali atas dasar fakta, data dan maklumat sedia ada, yang sudah disiasat oleh pihak berkuasa, jadi itulah yang kita gunakan,” katanya pada sidang media di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu penceramah bebas itu tidak lagi dibenarkan memberi ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Selain itu, dua menteri daripada DAP itu mendesak semua pihak khususnya kerajaan sendiri menghantar Zakir pulang ke negara asalnya, India.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Zakir ke negara asalnya kerana bimbang sekiranya pendakwah itu dibunuh di India nanti.

Jelas Muhyiddin, setakat ini kementeriannya menjadikan pandangan Perdana Menteri sebagai salah satu panduan untuk mengekalkan keberadaan Zakir di negara dan ia tiada kena-mengena dengan kes yang sedang disiasat polis.

“Kita perlu mendapat pandangan Perdana Menteri dan ia jadi salah satu daripada panduan kita, sama ada wajar atau tidak beliau itu dihantar disebabkan oleh tuntutan pihak India dan sebagainya.

“Itu adalah hak kita, undang-undang tidak mengatakan mesti kalau sesuatu negara menuntut, mesti kita perlu respon, kalau ada sebab-sebab tertentu yang kita rasa tak wajar, maka kita tak perlu respon kepada tuntutan mana-mana negara.

“Setakat ini, pendirian Malaysia sepertimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri itu masih kekal. Itu pendirian kita hingga ke hari ini

“Siasatan yang dilakukan polis itu berkaitan dengan kes dalam negara. Apa yang kita tahu ucapan beliau itu soal lain. Itu satu perkara yang sedang disiasat oleh pihak polis,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang tindakan salah seorang Menteri Kabinet iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengadakan pertemuan dengan Zakir, baru-baru ini, Muhyiddin berkata ia tidak akan menjejaskan politik Bersatu.

“Bukan saja beliau tapi banyak pihak lain bertemu, pihak pembangkang pun berjumpa, panggil, macam-macam,” katanya.

Katanya lagi, walaupun Bersatu khususnya Dr. Mahathir mempertahankan Zakir, namun penceramah bebas itu tidak terlepas dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melampaui batas.

“Kita sedar, sebab itu kita siasat tentang kenyataan beliau walaupun kita hormat beliau sebagai seorang penceramah ataupun tokoh agama, tapi ada had dan batasnya dari segi undang-undang.

“Kalau dia menyentuh hal-hal dalam negara yang menimbulkan keadaan macam sekarang, perasaan tak puas hati atau marah oleh pihak tertentu.

“Itu sebabnya tindakan daripada pihak polis dilakukan terhadap beliau sebab ada undang-undang yang mengawal keadaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette