Kebakaran hutan di Kampung Pekajang di Iskandar Puteri, Johor.

KULAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor supaya menutup sementara dua sekolah yang berada berdekatan dengan lokasi kebakaran hutan di Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata dua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang.

Beliau berkata penutupan itu perlu dilakukan kerana asap kebakaran itu boleh menjejaskan kesihatan murid dan pelajar.

Malah katanya, pagi tadi, beliau bersama Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut turun padang ke dua sekolah itu untuk melihat sendiri kesan pencemaran akibat kebakaran tersebut.

“Memang tadi sudah ada cadangan untuk menutup sementara sekolah tetapi itu kena berhubung dengan pegawai pendidikan untuk maklumat seterusnya,” kata beliau selepas menyertai operasi pembersihan khas sampah haram di Taman Lagenda Putra, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Pembelajaran), Sallina Hussain memberitahu sesi pembelajaran di kedua-dua sekolah itu masih berlangsung seperti biasa kerana pihaknya belum lagi menerima apa-apa keputusan atau arahan daripada JAS untuk menutup sementara atau memberikan cuti kepada sekolah berkenaan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah memberi topeng mulut kepada pelajar bagi mengelakkan mereka daripada menghidu asap kebakaran.

Kebakaran hutan sejak 21 Ogos lepas itu telah merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.