Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (dua kiri) diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Konvensyen Penyelia KAFA Peringkat Kebangsaan tahun 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK. foto 26 OGOS 2019

BANGI – Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang menghadapi masalah kewangan dan kekangan  akan dibantu menerusi tabung kebajikan.

Mengumumkannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jumlah keseluruhan tabung itu adalah RM2.6 juta dan akan diagihkan ke seluruh negara mengikut jumlah guru-guru KAFA setiap negeri.

Insiatif itu merupakan penghargaan kepada golongan pendidik agama tersebut, katanya.

“Ini hendak mulakan. Dana kebajikan yang dikhususkan kebajikan guru-guru KAFA sahaja dan tidak termasuk pelaksanaan program. Dana ini akan menampung setiap negeri akan mendapat mengikut bilangan guru KAFA.

“Menerusi tabung ini, saya berharap kebajikan guru KAFA seluruh negara terjamin dan  dapat membela nasib mereka dari kami di atas ini,” katanya.

Beliau mengumumkan Tabung Kebajikan Guru KAFA itu sempena Konvensyen Penyelia Kafa peringkat kebangsaan 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini.

Dana tabung itu, menurut Mujahid boleh digunakan untuk kes kematian (RM1,000), kematian keluarga terdekat (RM500), banjir yang menyebabkan guru terpaksa pindah (RM300), kemalangan atau dimasukkan ke hospital (RM200), menunaikan haji (RM200) dan penghargaan kepada yang bersara (RM200).

Mengulas lanjut permintaan guru-guru KAFA agar elaun mereka dinaikkan, Mujahid berkata, ia masih dalam proses rundingan dengan pihak berwajib dan Kementerian Penerangan.

“Saya harap ada berita gembira untuk kenaikan elaun guru KAFA,” tambahnya. MalaysiaGazette