Gambar hiasan

SEPANG – Situasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terkawal pada pagi Isnin walaupun Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) di Balai Pelepasan gagal berfungsi.

Sukarelawan yang terdiri daripada petugas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dari pelbagai jabatan dilihat secara proaktif menghampiri penumpang untuk membantu mereka dengan butiran penerbangan.

Pengumuman mengenai gangguan sistem, menasihati penumpang untuk melakukan pelepasan imigresen selepas mendaftar masuk, serta memeriksa masa dan pintu pelepasan penerbangan, boleh didengar berulang kali.

Keadaan itu disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian sejak Rabu malam (21 Ogos), dan dilihat telah semakin baik sejak Sabtu selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

Tinjauan Bernama pada 12 tengah hari, mendapati sebahagian FIDS telah pulih.

Warga Malaysia, Chan Keat Wah, 29, dari Kuala Lumpur, yang menaiki penerbangan ke Brunei dengan MH0730 pada 12.30 tengah hari berkata beliau tidak menghadapi sebarang kesulitan untuk mendapatkan butiran penerbangannya tanpa FIDS.

“Para sukarelawan sangat membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai kaunter daftar masuk dan nombor pintu berlepas,” kata wanita itu.

Bagi pemuda berusia 39 tahun, warga Itali yang bekerja di Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Luca, berkata beliau akan berlepas ke Jakarta menaiki Garuda Airlines dan mendapatkan maklumat penerbangannya daripada petugas di kaunter maklumat.

“Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan butiran penerbangan saya,” katanya.

— BERNAMA