Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Golongan perokok sudah tidak peduli akan larangan merokok di kedai makan, walaupun penguatkuasaan secara sepenuhnya akan dilaksanakan pihak berkuasa empat bulan lagi.

Walaupun pada permulaan terdapat perokok yang mengelak daripada merokok di kedai, tetapi kebanyakan mereka kini sudah tidak kisah.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Datuk Ho Su Mong berkata, pengusaha kedai kopi juga sukar untuk memberi nasihat kerana ia hanya akan mengundang pertengkaran dengan pelanggan.

“Pengusaha akan menunjukkan tanda amaran kepada perokok, pelanggan yang munasabah akan berhenti merokok selepas ditegur, tetapi ramai juga yang degil dan akan terus merokok.

“Apa yang boleh kami buat? Takkan nak panggil mereka berambus? Pertengkaran juga akan menjejaskan perniagaan kami,” katanya kepada China Press.

Su Mong berkata demikian sebagai mengulas tentang penguatkuasaan larangan merokok mulai Januari tahun depan, iaitu kira-kira empat bulan lagi.

Su Mong berkata, hanya terdapat 5,000 pegawai penguatkuasaan Kementerian Kesihatan di seluruh negara dan kekurangan tenaga itu menyukarkan pemantauan dan pemeriksaan.

Beliau berkata, keadaan itu mendorong perokok malas untuk melayan larangan itu manakala pengusaha kedai kopi juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak memiliki kuasa penguatkuasaan.

Su Mong juga mengulangi cadangan supaya Malaysia mencontohi Jepun dan Singapura dengan menyediakan zon merokok atau pondok merokok dan bukannya memaksa perokok merokok di jalan raya.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan memahami keadaan kami, kalau tidak, banyak masalah akan timbul apabila penguatkuasaan dijalankan nanti.

“Bukan sahaja perokok akan didenda, peniaga juga mungkin menerima kompaun walaupun kami telah memberi nasihat kepada perokok,” katanya. – MalaysiaGazette