Gambar hiasan.

LANGKAWI – Seorang pelancong warga Perancis yang menunggang sebuah skuter maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Temoyong, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku pada 1.18 pagi semasa mangsa Bilel Fadloun Saber, 21, dalam perjalanan menuju ke arah Pantai Chenang.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kereta yang berada di hadapannya tetapi gagal lalu terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kerana jarak yang dekat, kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa menyebabkan lelaki warga Perancis itu maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis juga meminta saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA