Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melihat kesan kebakaran Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengarahkan semua universiti awam di negara ini meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, kementerian mahu bangunan lama di universiti awam dilengkapi langkah keselamatan untuk pihaknya menyediakan peruntukan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kita dapati ada bangunan lama di universiti awam tidak mempunyai aspek keselamatan berbanding bangunan baharu yang disediakan pelan itu dalam syarat pembinaan.

“Mereka boleh kemukakan pelan keselamatan mengikut spesifikasi ditetapkan kepada kementerian saya untuk dinilaikan bajetnya dalam RMK-12 nanti,” katanya kepada media selepas melawat tapak bangunan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang terbakar awal pagi tadi di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, ruang pejabat pensyarah di fakulti itu musnah terbakar dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Nu’aim Izzuddin Mohd Hanafiah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.30 pagi sebelum sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Dr. Maszlee, antara universiti awam yang mempunyai bangunan lama dan dalam perhatian kerajaan untuk ditingkatkan keselamatan ialah UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ujar beliau, kementeriannya akan memberi perhatian kepada tiga universiti itu memandangkan usianya yang agak lama, maka wajar bangunannya dibaiki.

“Kita sudah arahkan pihak universiti berkenaan untuk mengemukakan pelan masing-masing supaya kita dapat menyediakan peruntukan bagi meningkatkan kelengkapan dengan lebih baik,” katanya.

Ditanya berhubung kejadian itu, beliau menjelaskan, punca kebakaran bangunan yang mempunyai 21 bilik pensyarah itu masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kata beliau, untuk sementara waktu ini, semua pensyarah terbabit akan ditempatkan di bangunan berdekatan bagi memudahkan mereka bertugas seperti biasa.

Beliau turut menjelaskan, kos untuk membaikpulih bangunan yang terbakar itu dianggarkan kira-kira RM2 juta dan mengambil masa selama empat bulan. – MalaysiaGazette