Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

PULAU PINANG – Exco Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata beliau hanya bergurau apabila mengibaratkan Sinchew Daily sebagai akhbar “Utusan Orang Cina”.

Ketika mengulas mengenai isu pengajaran seni khat di sekolah dalam satu forum anjuran Penang Institute, Zairil berkata, isu itu timbul berikutan masalah komunikasi yang teruk.

Apabila mengulas tentang laporan Sinchew Daily mengenai isu itu, Zairil berkata, akhbar itu dikenali sebagai “Utusan Orang Cina” .

Keadaan itu bagaimanapun mendorong wartawan Sinchew Daily meminta Zairil mengemukakan bukti bagi menyokong hujahannya semasa sesi soal jawab.

Wartawan itu juga menyatakan bahawa akhbarnya menyediakan kolum “Kita” untuk menyokong persefahaman antara kaum.

Zairil seterusnya mengakui beliau hanya bergurau apabila mengibaratkan Sinchew Daily sebagai “Utusan Orang Cina” , sambil menjelaskan ia berdasarkan pendirian editorial akhbar itu mengenai politik negara ini.

Dalam pada itu, Zairil berkata, isu seni khat atau tulisan Jawi merupakan pengajaran penting buat pemimpin Persekutuan dalam aspek perhubungan awam.

“Isu ini tidak diuruskan dengan baik sehingga setiap orang salah faham mengenainya.

“Selepas timbul isu ini, semua ulasan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat yang tidak betul,” katanya.

Menurut Zairil, beliau berada dalam keadaan yang sinis berhubung isu Jawi kerana Kabinet membuat keputusan menggantikan tulisan Jawi dengan Romawi semasa ayahnya menjadi Menteri Pelajaran.

“Sesetengah orang Melayu menyalahkan ayah saya kerana memansuhkan Jawi, kini sesetengah orang Cina pula menyalahkan parti saya kerana mahu memperkenalkan Jawi,” katanya. – MalaysiaGazette