Menteri Besar Perak, Datuk Sri Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Kerajaan Perak menafikan dakwaan pembangkang kononnya ia telah memberi maklumat palsu berkenaan pengecualian cukai bagi pembelian 16 buah kereta Toyota Camry ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dakwaan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa wakil kerajaan menipu, ketika memberi jawapan dalam persidangan DUN adalah tidak benar.

“Kalau kita (kerajaan) menyebut maklumat yang ada pada kita tetapi maklumat itu tidak tepat, itu bukan menipu itu sekadar menyampaikan maklumat tidak tepat, yang mungkin diberikan oleh pegawai dan sebagainya.

“Menipu itu adalah kalau kita tahu perdana menteri kita mencuri tetapi kita tidak memaklumkan kepada dewan dan mempertahannya dalam parlimen, itu menipu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang Piala Menteri Besar Perak 2019 di Arena Lawn Bowls di sini hari ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu disertai oleh 48 pasukan dari negeri-negeri dan kelab di dalam Malaysia serta enam negara luar antaranya Thailand, Korea Selatan dan India mulai semalam hingga Ahad ini (1 Sept).

Semalam, dalam satu sidang media, Saarani mendesak supaya kerajaan Perak memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung pembelian kereta Toyota Camry yang digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ia berikutan, pada 24 Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi memberitahu pada persidangan DUN, harga pasaran seunit kereta Toyota Camry itu adalah RM190,000, namun kerajaan negeri membelinya pada harga RM109,000 seunit iaitu penjimatan sebanyak RM81,000 menerusi rebat cukai.

Sehubungan itu, Saarani menyifatkan tindakan itu sebagai menipu DUN berikutan ‘hansard’ mengatakan pembelian kereta tersebut mendapat pelepasan cukai, tetapi kenyataan Kementerian Kewangan pada Selasa lepas adalah sebaliknya.

Kenyataan kementerian itu menyebut tidak pernah menerima permohonan atau memberi kelulusan untuk pengecualian duti/cukai ke atas perolehan kenderaan Toyota Camry jenis import sepenuhnya (CBU) daripada kerajaan negeri Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal sekali lagi menegaskan bahawa pembelian kereta tersebut tidak merugikan kerana perbelanjaan kerajaan negeri lebih jimat berikutan syarikat kereta tersebut memberi yuran penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

“Saya berpandangan keputusan membeli kereta Toyota Camry itu adalah amat tepat kerana menjimatkan perbelanjaan negeri sambil menambah harta kerajaan negeri,” katanya.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.