Ismail Bakar

KUALA LUMPUR – Gelaran ‘Tiger of Asia’ akan terus menjadi milik Malaysia sekiranya langkah pengenalan program Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 berjaya memacu aktiviti ekonomi domestik negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada suku tahun kedua 2019 menunjukkan pertumbuhan pada kadar 4.9 peratus.

Katanya, pelaksanaan dan perancangan projek pembangunan negara dibawah RMK- 11 dan RMK-12 akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan negara terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kemakmuran bersama dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas dan kaum,” katanya menerusi kenyataan hari ini sempena setahun menjadi Ketua Setiausaha Negara.

Ismail memberitahu, segala usaha tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada semua pihak terutama penjawat awam.

“Harapan saya, agar semua rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada Penjawat Awam untuk menjalankan tugas dengan cemerlang,” ujarnya.

Katanya lagi, sinergi di antara penjawat awam dan kerajaan baharu terus kukuh dengan penekanan prinsip “Saya Yang Menjalankan Amanah” di bawah payung setia Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ujarnya, ikatan itu penting bagi memastikan dasar dan perancangan negara dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Aspek integriti adalah keutamaan dalam memastikan sesuatu projek itu berjaya dengan efisien dan cost-effective,” tambah beliau. – MalaysiaGazette