KUALA LUMPUR – Apabila perkataan ‘pariah’ yang disifatkan menghina komuniti India kini seolah-olah sudah ‘dihalalkan’, pimpinan India dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk mereka yang lantang sebelum ini.

Malah, sikap mengunci mulut serta tidak membetulkan keadaan  menunjukkan kelantangan pemimpin-pemimpin India itu sebenarnya hanya sekadar retorik serta memperbodohkan rakyat demi undi.

Antara pemimpin-pemimpin ini termasuk yang sudah bergelar menteri, timbalan menteri serta wakil rakyat seperti Ahli Dewan Negara, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Negeri selain jawatan lain dalam parti kerajaan.

Kini apabila sudah mendapat apa yang dihajati, warna sebenar mereka terserlah.

Itu luahan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), Sathasivam Kalimuthu berhubung isu perkataan ‘pariah’ yang digunakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengulas kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas).

Kata Sathasivam, jika sebelum ini pemimpin-pemimpin ini juga lantang bertanya seandainya ada dalam kalangan pimpinan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan terdahulu menggunakan perkataan-perkataan seumpama itu.

“Seperti yang dikatakan oleh segelintir pimpinan PH, ianya telah diambil luar konteks dan bukan itu niat Tun Mahathir menghina. Ada juga tampil mengatakan Tun tidak langsung menyebut perkataan itu.

“Tetapi jika itu boleh dielakkan memandangan ini bukan kali pertama, bukankah itu jauh lebih baik?

“Perkataan-perkataan tertentu sebenarnya menghina atau mengguris hati setengah pihak dan kaum di negara, jadi mengapa masih guna kemudian bela diri? Sangat mengecewakan.

“Tapi saya ingin beritahu kepada pemimpin India PH yang begitu hebat sebelum-sebelum ini apatah lagi ketika mengkritik BN lagi-lagi MIC selama ini, saya harap dan saya beri amaran kepada supaya tutup mulut sahaja.

“Jika selepas ini ada yang gunakan perkataan seperti ‘pariah’ termasuk memanggil kamu, jangan buat isu atau porak perandakan keadaan kerana kini ianya ‘halal’ dan tidak salah langsung. Jangan melompat seperti monyet dan keruhkan keadaan.

“Cukup-cukuplah keruhkan keadaan demi kelangsungan politik kamu ini, lepas ini jangan buka mulut atau silap-silap rakyat yang ajar kamu pula,” katanya.

Baru-baru ini, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dilaporkan berkata, Lynas tidak boleh diminta keluar dari negara ini seperti ‘pariah’ kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia.- MalaysiaGazette

 

Waytha, kenapa diam bila Tun M guna perkataan ‘pariah’?

Pariah: Laporan polis kena berasas, kata Zuraida

Kenyataan ‘pariah’ disalah tafsir – Muhyiddin