Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (dua kanan) diiringi Presiden Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Norman Abdul Halim (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Pelancaran Program ‘Contentpreneur 2020’ anjuran Yayasan KRU sempena Minggu Usahawan Nasional di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2019

SERDANG – Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan perlu menjadi platform untuk membudayakan semangat keusahawanan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan untuk generasi muda termasuk dalam industri kandungan kreatif.

Menteri Pembangunan Usahawan,  Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memuji usaha Yayasan KRU yang cuba menggabungkan para pelabur, tenaga profesional industri, karyawan dan golongan akademik untuk memacu industri keusahawanan kreatif negara.

Menurutnya, MUN akan menjadi salah satu pemangkin yang membentuk ke arah usahawan berjaya dan tapak mengukuhkan lagi landskap usahawana sedia ada.

Malah beliau juga mahu kerjasama erat dijalin dengan rakan strategik untuk memacu industri kandungan kreatif.

“Ini satu cabaran membentuk gagasan dalam pentadbiran kerajaan memastikan peranan ini jadi tonggak negara.

“Sidang kemuncak keusahawanan global baru sahaja selesai di Bahrain yang mana kita cuba memperkasakan kemahiran kandungan kreatif dan bertukar idea untuk melihat potensi penganjuran pertandingan usahawan industri kreatif dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Contentpreneur 2020 anjuran Yayasan KRU di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pagi tadi.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof beramah mesra bersama Presiden Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Norman Abdul Halim (kanan) turut diiringi Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac pada Pelancaran Program ‘Contentpreneur 2020’ anjuran Yayasan KRU sempena Minggu Usahawan Nasional di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2019

Menurut Redzuan, pertumbuhan industri kandungan kreatif perlu lebih mengutamakan anak muda dan graduan lepasan pengajian tinggi yang terkapai-kapai mencari kerjaya sesuai untuk mereka.

Beliau dalam perkembangan sama menjelaskan bahawa sedang dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menaikkan industri kandungan kreatif.

“Saya ada bincang dan memaklumkan kepada Tun betapa susah usahawan dalam industri kandungan kreatif untuk mendapatkan dana pembiayaan dan mencadangkan perlunya mewujudkan satu dana khusus untuk membangunkan industri berkenaan.

“Ia masih dalam perbincangan lagi,” tegasnya sambil menyarankan Yayasan KRU tampil berbincang dengan kementerian untuk mengadakan pameran khusus menunjukkan industri kandungan kreatif sendiri untuk tatapan masyarakat.- MalaysiaGazette