Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berucap pada Pelancaran Program ‘Contentpreneur 2020’ anjuran Yayasan KRU sempena Minggu Usahawan Nasional di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2019

SERDANG – Kerajaan sedang merancang untuk memberi fokus khusus membangunkan industri komuniti pengukir menerusi Tekun Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, industri pengukir juga perlu diberi keutamaan seperti mana industri muzik seni peralatan tradisional lain di negara ini.

“Bidang (industri pengukir) agak ketinggalan di era moden ini, yang mana data sedia ada pada kerajaan menunjukkan hanya antara 300 hingga 400 orang sahaja yang berkecimpung dalam industri ukiran.

“Nasib mereka seolah-olah spesies harimau yang makin pupus di negara ini, jika tidak diambil langkah sewajarnya.

“Kita mahu bangunkan kembali industri ini, kalau lihat di Indonesia ia boleh menjana pendapatan berbilion ringgit untuk ekonomi negara, jadi kenapa tidak kita fokus ke arah itu,”katanya ketika berucap merasmikan Contentpreneur 2020 anjuran Yayasan KRU di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pagi tadi.

Turut hadir Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Pengerusi Filem Nasional, Hans Isaac.

Beliau tidak menolak kemungkinannya industri pengukiran di Malaysia mampu menyumbang kepada usaha negara dalam merealisasikan usahawan muda.

Pameran kali ini mensasarkan lebih 50,000 pengunjung menjelang hari penutupan pada 1 September ini.

Pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuka ruang mempamerkan teknologi padi dan semua hasil pertaniannya.- MalaysiaGazette