Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham (tengah) bersama perwakilan mengibarkan bendera Parti Keadilan Rakyat pada Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Dewan Hamzah, Klang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2019

KLANG – Tidak ada pemberian sebarang token kepada ahli untuk menghadiri majlis perasmian perdana Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muafakat Cabang Selangor hari ini.

Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau tidak tahu menahu dengan dakwa sesetengah pihak bahawa berlaku pemberian token untuk meramaikan kehadiran ahli pada mesyuarat itu.

“Saya tak tahu, tapi (yang saya tahu) token itu untuk konvoi Hari Kemerdekaan yang dianjurkan pihak lain. Di peringkat saya (mesyuarat) kita yakin tiada ada (pemberian) sebarang token,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media menjawab kenyataan Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Najwan Halimi yang mengingatkan bahawa pemberian token untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program yang dianjurkan bukan budaya PKR.

Semalam, media melaporkan, ada dakwaan mengatakan majlis perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor yang berlangsung hari ini di Dewan Hamzah, Klang dicemari dengan amalan pemberian token kepada ahli yang hadir.

“AMK Selangor kesal dengan apa yang disebarkan dan jelas ini (pemberian token) bukan budaya PKR untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program parti,” tegas Najwan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hilman membidas sesetengah pemimpin PKR enggan membantu program dianjurkan AMK untuk anak muda, tetapi pada masa memperlekehkan aktiviti itu.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Dewan Hamzah, Klang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2019

Katanya, usaha beliau ialah hendak memastikan bagaimana AMK dapat membantu dari segi program kepada anak muda dan menitik beratkan apa yang mereka hendak buat.

“Kalau ada pimpinan yang rasa tidak mahu terlibat dengan program ini, jangan perlekehkan usaha yang kita buat, sedangkan mereka tidak buat apa-apa dan mereka sebenarnya lebih hodoh dan teruk,” katanya.

Tanpa menyatakan kepada pihaknya beliau maksudkan, Hilman beberapa kali dalam ucapannya menekankan kepada anak muda generasi baharu akan cabaran yang bakal mereka tempuhi jika tidak bersama dengan perjuangan PKR.

Ujarnya, AMK kini bekerja keras untuk menarik seramai mungkin anak muda yang bakal mencecah umur 18 tahun dari bermulanya tahun ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau mengingatkan barisan kepimpinan AMK agar tidak main-main dengan peranan atau kuasa undi anak muda kerana yang berumur 18 tahun kini telah mencecah 14 juta.

“Kita menjangkakan menjelang PRU15, jumlah itu meningkat dua kali ganda iaitu bertambah sehingga 22 juta anak muda yang layak mengundi. Jadi, kita kena mulakan dari sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette