Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media ketika hadir untuk melawat pusat pendaftaran sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Edaran gambar anggota Jemaah Menteri duduk ketika Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memberi tabik hormat kepada Angkatan Tentera Malaysia ketika perbarisan ulang tahun Kemerdekaan di Putrajaya semalam adalah satu permainan persepsi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang menyaksikan kejadian itu menjelaskan bahawa ketika itu bukan waktu protokol yang mewajibkan semua pihak untuk berdiri dan ia dilakukan secara spontan.

“Ini sebenarnya satu mainan persepsi, saya ada dekat khemah tetamu ketika itu.

“Memang pada waktu-waktu yang diperlukan contohnya sewaktu nyanyian Negaraku, ketibaan Duli Yang Maha Mulia YDPA, semua hadirin termasuk jemaah menteri bangun sebagai tanda hormat.

“Mungkin dari semasa ke semasa saya lihat YDPA dan Tuanku Permaisuri Agong memang spontan, kalau kita lihat pada waktu-waktu tertentu baginda akan bangun dan melambai untuk tabik hormat.

“Waktu itu bukan ikut protokol, terpulang nak bangun ataupun tidak. Saya rasa isu ini tak jadi isu, satu perkara kecil saja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Hari Pendaftaran Pelajar Baharu di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Menteri Duduk Agong Tabik Hormat
Jemaah Menteri kelihatan duduk didakwa masih duduk ketika Yang DiPertuan Agong (YDPA) dan Permaisuri Agong memberi tabik hormat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau mengulas isu penularan beberapa gambar sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Putrajaya semalam di media sosial menunjukkan beberapa anggota Jemaah Menteri tidak bangun sebagai tanda hormat ketika YDAP dan Permaisuri Agong berdiri memberi tabik hormat kepada perbarisan ATM.

Antara menteri Kabinet terbabit ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gambar berkenaan mendapat reaksi negatif dalam kalangan netizen malah ada yang membuat perbandingan dengan Jemaah Menteri semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette