Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Jika benar Barisan Nasional (BN) dan orang Melayu yang mendukung UMNO ini jahat, tidak mungkin wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, selepas BN tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu, tidak ada satu pun tunjuk rasa yang UMNO dan Pas anjurkan.

“Malah, kami sangat menghormati pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan berlapang dada. Malangnya, setelah lebih setahun memerintah dengan kualiti pentadbiran yang gagal, cara paling mudah untuk mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah mencari kambing hitam.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan seluruh kepimpinan parti cauvinis itu enggan menerima hakikat bahawa yang menggantikan kleptokrasi adalah kakistokrasi.

“Malah kini, pelbagai episod video seks, jenayah seksual dan rujukan bahan lucah dilakukan oleh anggota kerajaan, seolah kakistokrasi kini berubah pula menjadi pornokrasi,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan portal Malaysiakini yang memetik Kit Siang sebagai berkata, terdapat gesaan agar beliau berundur selepas lima dekad dalam politik.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan itu menyebabkan timbul pelbagai tuduhan ada pihak tertentu bermain sentimen kaum dan agama, sedangkan rakan dalam DAP sehingga kini masih bercakap mengenai ‘kartel’ dan ‘deep state’ yang tidak ada siapa pun faham maksudnya.

Barangkali, katanya, para jemaah menteri bersijil palsu dengan kelayakan luar negara yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kepimpinan BN dan Pas ang hanya belajar dengan jujur di universiti tempatan.

“Saya ingin bertanya, selain perkauman, selama 60 tahun apa yang sebenarnya Kit Siang atau DAP bantu jayakan di tanah air ini? Jika DAP bukan perkauman, masakan dalam tempoh itu ia terus gagal meyakinkan orang Melayu untuk mendukung perjuangannya.

“Jika DAP bukan perkauman, mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar pertubuhan Cina, Dong Zong sebagai rasis?

“Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?,” soal beliau.

Katanya, selepas 60 tahun, satu-satunya ‘jasa’ DAP ialah memastikan orang Cina hanya menyokong agenda rasis parti itu.

Sebab itu, sejak enam dekad sehinggalah setelah membentuk kerajaan, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.

Sebabnya mudah kata beliau, impian DAP mengenai Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi itu sangat terpisah dari realiti Malaysia.

Justeru, beliau menggesa Kit Siang berundur kerana Malaysia memerlukan kesegaran baharu.

“Malaysia berterima kasih kepada Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahin dan rakan seangkatan mereka kerana sama-sama menyumbang dalam mencorakkan politik negara.

“Tetapi, Malaysia ini bukan mengenai anda semua selamanya. Malaysia bukan mengenai legasi Tun Mahathir dan cita-cita Anwar Ibrahim. Negara ini memerlukan generasi pelapis untuk mengambil alih.

“Kalau Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand hatta Vietnam sudah ada generasi pemimpin baharu, mengapa kita masih lagi bergantung harap pada sang negarawan yang dari generasi pertama,” katanya.

Beliau mengingatkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, bahawa yang Malaysia perlukan bukan sekadar menukar nama, tetapi melebar makna dan menebar pesona.

“Itu, bukan sesuatu yang anda fahami, apatah lagi milikinya,” kata beliau. – MalaysiaGazette