Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (kiri) bergambar bersama Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, Shaykh Abdullah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah (dua kiri) dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang (dua kanan) pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1441H/2019M, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mengajak umat Islam berhijrah dengan menjaga kebersihan bermula di rumah sendiri.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, penghijarahan perlu bermula di tandas rumah bagi mengelak keadaan tidak bersih dan menjadi kotor.

Jelasnya, Islam amat mementingkan kebersihan bagi mengelak solat yang dilakukan menjadi tidak sah.

“Semuanya bermula dengan menjaga kebersihan di rumah sendiri sebelum menjaga tandas di tempat kita bekerja dan seterusnya tandas awam.

“Dalam Islam, selepas kita mengucap syahadah, kesucian amat dititikberatkan. Justeru umat Islam wajar menjadi contoh menjaga kebersihan dan melestarikan alam kerana kita bersolat menggunakan air dan bertayammum menggunakan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H/2019M pula dianugerahkan kepada Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Syaykh Abdullah Syahkh Al-Mahfoudh.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada dua penerima itu.

Mereka menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM100,000, sumbangan daripada Yayasan Ubaidi berjumlah RM20,000, medal dan sijil penghargaan.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Mengulas lanjut, Zaini menambah, berpandukan beberapa hadis, beliau berkata alam sekitar ini sentiasa bertasbih kepada Allah SWT sepanjang masa.

Jelas beliau, sekiranya umat Islam sendiri tidak mahu bertasbih, jangan sesekali membuat kacau dengan alam sekitar.

“Kalau kita tidak bertasbih jangan kita kacau alam sekitar. Biar alam bertasbih dan jangan cederakan mereka.

“Alam akan mengadu kepada Allah SWT kalau mereka cedera,” katanya. – MalaysiaGazette