Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR – Sokongan pembelian barangan keluaran bumiputera sewajarnya dilihat sebagai pendekatan kemakmuran bersama, inisiatif yang dizahirkan sendiri oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan.

Lagipun, secara prinsipnya, sokongan membeli barangan keluaran bumiputera adalah sama seperti kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang dilaung-laungkan sejak dahulu lagi.

Sehubungan, Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, sokongan itu tidak sepatutnya disalahertikan, apatah lagi dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera menambah, sekiranya sokongan itu dilihat secara positif, ia merupakan cara untuk menggalakkan perkongsian kemakmuran dalam kalangan usahawan-usahawan baharu bumiputera untuk menghasilkan produk.

Ia sama seperti mana pembabitan pengilang-pengilang bukan bumiputera yang sudah lama berkecimpung dalam industri ini.

Menurut Amer, dengan adanya pengeluaran barangan daripada usahawan bumiputera ini, ia memberi peluang kepada golongan bumiputera untuk berjinak-jinak dan berkecimpung dalam perniagaan ini.

“Apa salahnya memberi sokongan kepada barangan keluaran bumiputera, bukankah ia merupakan inisiatif kemakmuran bersama yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tiada istilah boikot pun kerana produk-produk halal keluaran usahawan bukan bumiputera tidak terjejas pun.

“Macam inilah, saya beri contoh mudah. Adakah dengan membeli barang-barang yang dijual oleh peniaga Melayu di pasar malam, bermakna orang Melayu boikot barangan yang boleh didapati di pasar-pasar raya, tidak kan. Samalah seperti sokongan kepada membeli barangan keluaran bumiputera ini.

“Kita beli bukan sahaja sebagai tanda memberi sokongan kepada peniaga berkenaan, kita juga menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik buat peniaga-peniaga kecil ini.

“Apabila kehidupan mereka lebih baik, mereka juga boleh menyumbang kepadap pembangunan ekonomi negara. Kalau kehidupan rakyat lebih baik, bukankah itu lebih baik?” soalnya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Perkara ini tidak sepatutnya diperbesar-besarkan atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana situasi ini adalah satu senario perubahan dalam ekonomi.

Cuma, dengan sokongan ini, pembeli bumiputera mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barang-barangan berdasarkan harga, kualiti, saiz dan jenis barangan.

Apabila banyak yang dikeluarkan, golongan yang berpendapatan rendah atau B40 juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.

“Golongan yang ada duit mungkin tiada masalah untuk mendapatkan barangan yang diperlukan tetapi bagi B40 pilihan mereka terhad. Jadi dengan adanya lebih banyak penyertaan bumiputera dalam bidang peruncitan ini, ia baik untuk golongan berpendapatan rendah yang pendapatan boleh guna mereka cukup terhad,” ujarnya.

Selain itu, ia juga mendidik golongan peniaga dan usahawan baharu bumiputera untuk terus kompetitif dalam bersaing dalam industri ini.

Amer yang mengikuti isu ini berkata, tidak timbul isu boikot jika sokongan kepada barangan keluaran bumiputera bertujuan memberi galakkan kepada usahawan berkenaan.

“Kalau hendak boikot, lebih baik boikot Giant, Tesco ke yang sudah tentu dimiliki oleh orang luar.

“Adakah kedai yang dimiliki oleh bukan bumiputera seperti 99 Speed Mart jualannya terjejas, tiada kan, jadi buat apa hendak perbesar-besarkan isu yang tidak wujud,” tambahnya.

Dalam pada itu, Amer turut menegur media sosial yang memperhebatkan sokongan belian barangan buatan bumiputera agar berhati-hati dengan maklumat yang disalurkan.

Katanya, ada maklumat tentang produk yang salah dan tidak tepat.

“Ada keluaran barangan yang dikeluarkan oleh peniaga bukan bumiputera tetapi dikatakan milik bumiputera hanya dengan penguasaan 30% oleh entiti bumiputera. Itu salah. Pemilikan 30% kepentingan bumiputera dalam syarikat bukan bumiputera tidak menjadikan syarikat tersebut milik bumiputera.

“Ada pula barangan keluaran milik syarikat berkaitan kerajaan dikatakan dipunyai syarikat asing disebabkan pemilikan saham minoriti asing. Media sosial kena buat homework betul-betul supaya maklumat tidak mengelirukan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette