Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menampal pelekat ‘Wilayah Ku’ di sebuah kereta pemandu teksi pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso untuk pemandu-pemandu teksi di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan melanjutkan program Bantuan Caruman Perkeso untuk pemandu teksi di Wilayah Persekutuan yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai lalu kepada 16 September ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, program itu diteruskan memandangkan sambutan daripada pemandu-pemandu teksi sangat menggalakkan bagi memastikan mereka mendapat perlindungan Perkeso.

“Memandangkan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia yang akan menjelang tidak lama lagi, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan melanjutkan program ini sehingga 16 September 2019.

“Bagi pemandu teksi yang masih belum berdaftar di bawajh Skim Perlindungan Perkeso boleh berbuat demikian sebelum 16 September bagi menyertai skim ini,” katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso Untuk Pemandu-Pemandu Teksi di Wilayah Persekutuan, di YWP, di sini, hari ini.

Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) bergambar bersama pemandu-pemandu teksi selepas pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso untuk pemandu-pemandu teksi di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

Khalid juga berkata, sejak skim itu dilancarkan hingga 31 Julai lalu, seramai 2,926 pemandu teksi di Wilayah Persekutuan telah menerima manfaat daripada bantuan caruman Perkeso itu.

“Pakej perlindungan Caruman dengan Perkeso ini dengan nilai RM157.20 setahunbagi seorang pemandu teksi membabitkan kos keseluruhan pelaksanaan program ini mencecah RM201,988.90,” katanya.

Katanya lagi, kesemua pemandu teksi yang menerima bantuan caruman perlindungan Perkeso itu juga akan terus dilindungi sehingga 31 Disember 2019 atau 31 Jun 2020. – MalaysiaGazette