Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Food Bank Master Malaysia di Le Meridien, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Yayasan Food Bank Malaysia dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (PFM) memulakan inisiatif mengumpul dana pelaksanaan Food Bank Siswa (FBS) ke 123 institusi pendidikan negara dengan menganjurkan pertandingan golf amal Food Bank Malaysia Masters 2019 pada 20 hingga 22 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran dana sebanyak RM1 juta yang bakal dikumpul menerusi pertandingan golf yang melibatkan 160 peserta amatur tempatan itu akan disalurkan kepada FBM dalam usaha memantapkan operasi pelaksanaan program Food Bank Siswa.

Katanya, program berkenaan mensasarkan untuk meringankan kos sara hidup pelajar kurang berkemampuan B40 khususnya untuk mendapat bekalan makanan yang tetap.

“Dengan kerjasama YFBM dan PFM, penganjuran golf ini sambil memberi peluang penggemar sukan golf tanahair mengambil bahagian dan sebahagian daripada kutipan kejohanan ini akan disalurkan kepada program food bank yang kami mulakan di universiti awam.

“Seperti yang saya sebutkan yayasan food bank ini yang bertanggungjawab mengendalikan program food bank ini di seluruh negara termasuk di universiti awam seluruh negara bakal menyaksikan pelaksanaan di Universiti Sains Malaysia (8 September), UUM (15 September) dan Universiti Malaysia Perlis (20 September).

“Selepas tiga universiti berkenaan kita mensasarkan program Food Bank Siswa bermodelkan Food Pantry dan Central Kitchen (masakan Dapur Berpusat) untuk mahasiswa dilaksanakan di 123 universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti dan Institut perguruan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan piala dan hadiah utama kejohanan golf iaitu Kereta SUV Proton X70 di sini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long (kanan), Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kiri) dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan (kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Food Bank Master Malaysia di Le Meridien, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2019

Majlis pelancaran Golf Food Bank Masters Malaysia 2019 turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan.

Tambah Saifuddin, beliau telah bertemu dengan 20 Ketua Pegawai Eksekutif syarikat korporat tempatan dan menerangkan objektif penganjuran program food bank dan pertandingan sambil mempelawa mereka ikut serta.

Beliau percaya setiap peminat sukan golf akan mengikuti program mereka dan membantu merealisasikan objektif membantu pelajar kurang berkemampuan memperolehi makanan secukupnya sepanjang masa.

“Saya janji setiap sen dana yang dikumpul melalui pertandingan golf ini akan disalurkan kepada program food bank dan tidak akan menggunakan untuk tujuan pengurusan atau pentadbiran ataupun logistik.

“Pertandingan Golf Masters Malaysia ini akan diadakan di Golf and Country Club Bandar Darulaman, Jitra Kedah.

“Setakat ini 120 pemain sudah mengesahkan bayaran dan pendaftaran mereka dan diharap mencapai sasaran 160 peserta menjelang tarikh tutup 10 September ini.

“Syarikat penerbangan swasta Firefly antara pihak yang tampil menyumbang inisiatif amal ini MFA akan membimbing kesemua penderma untuk mendapatkan sumbangan sekaligus mengelak pertemuan satu persatu dengan memakan masa lama,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.