Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – “Menteri Sumber Manusia mengumumkan perkara ini di media, kemudian Menteri Belia dan Sukan tidak bersetuju dan mengumumkan di media sosial.

“Menteri Sumber Manusia (M. Kula Segaran) pula berkata, perbincangan dan kajian dijalankan bersama Menteri Kewangan.

“Kecelaruan sebegini menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini,” kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau merujuk kepada cadangan Kula Segaran mengenai had umur persaraan 65 tahun yang akan dibincangkan oleh kementeriannya namun selepas itu berlaku sanggah menyanggah dalam kalangan menteri.

“Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) menggunakan media sosial untuk meraih simpati anak muda, walhal perkara sebegini seharusnya dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum menteri-menteri membuat kenyataan.

“Rakyat sudah mual dan muak dengan permainan politik murahan sebegini, iaitu 3U ‘umum-ulas-u -turn’,” kata Shahir menerusi kenyaatan hari ini.

Mengenai cadangan had umur persaraan 65 tahun pula, Shahir menggesa kerajaan memberikan alasan kukuh dan jujur kepada anak muda berhubung cadangan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 60 tahun.

Perkara itu tidak wajar perlu dilakukan kerana ia menyekat peluang anak muda untuk mendapatkan pekerjaan, ujarnya.

Malah, ia secara tidak langsung turut memberi kesan kepada penyimpan yang hendak membuat pengeluaran menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Shahir menegaskan, penjelasan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia sama ada dana KWSP makin menguncup disebabkan ketidaktentuan pelaburan sejak PH memerintah negara lebih setahun.

Malah beliau mendakwa, anak muda cuba diumpan ‘digula-gulakan’ apabila kerajaan memperkenalkan motosikal e-hailing atau gojek di negara ini agar mereka terlibat dalam pekerjaan itu.

Katanya lagi, alasan tanpa kajian sememangnya tidak masuk akal kerana ia tidak menunjukkan tahap pemikiran yang matang serta merdeka dalam melaksana dasar-dasar negara.

“Dari sudut ekonomi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu memberikan statistik dan kajian kepada seluruh rakyat Malaysia, tentang implikasi menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Bersara 65 tahun? Cukup-cukuplah