KUALA LUMPUR — Sekumpulan sukarelawan berjaya menanam kira-kira 700 anak pokok nadir di Blok A & B, Kompartmen 50, Hutan Simpan Tekai Tembeling, Pahang baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada sukarelawan Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut (PDTJ) pada 24 dan 25 Ogos lalu melalui program Go Green With SASET (GGWS) sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Daerah Jerantut.

Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Muad’zam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah yang juga merupakan Presiden SASET berkata, buat julung kalinya SASET terlibat dengan kerja-kerja penanaman anak pokok nadir di Pahang.

Sebelum itu, mereka biasanya giat menanam pokok-pokok hutan bertujuan menghijaukan kawasan hutan simpan selain dapat menjadi sumber pendapatan tambahan penduduk setempat, khususnya masyarakat Orang Asli dari suku kaum Negrito dan Batek.

Menurutnya, dengan adanya program seperti ini, dapatlah mereka menikmati dan menambah pendapatan dengan hasil yang dikeluarkan oleh pokok-pokok yang baru ditanam kerana keunikan masyarakat Orang Asli  masih meneruskan amalan berpindah-randah yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Bahkan, masyarakat minoriti ini cukup sinonim dengan alam semulajadi dan hanya boleh ditemui di tiga buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sekaligus menjadikan mereka insan istimewa kerana mereka agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka,” katanya.

Beliau yang berkenan menyempurnakan program tersebut berkata, peserta yang terlibat bukan sahaja dapat merapatkan diri dengan alam semula jadi, malah diberi peluang untuk belajar mengenai spesies pokok bersama penduduk setempat.

“SASET komited untuk menjadikan negeri ini lebih hijau dan kami berharap usaha ini dapat diteruskan agar lebih banyak pokok-pokok hijau ditanam secara meluas di seluruh Pahang agar dapat memastikan pembangunan fizikal negeri beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, usaha memupuk kesedaran masyarakat terutamanya golongan belia terhadap kepentingan alam semula jadi merupakan tanggungjawab bersama kerana pokok dan hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Justeru itu, program kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Hadir sama, tetamu istimewa dari Indonesia, Sultan Indragiri XXVII Tengku Parameswara Arif dan keluarganya, Naib Presiden SASET Dato Aida Jusuf, Ketua Kempen SASET Dato Mohammad Ezan Ahmad, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Dato Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin, Pegawai Daerah Jerantut Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin dan ketua-ketua jabatan lain bagi menjayakan program ini.

Dalam pada itu, seramai 200 sukarelawan dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Kolej Komuniti Bera dan Jerantut, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Limkokwing University of Creative Technology, DRB HICOM University Of Automotive Malaysia, Amanah Saham Nasional Berhad cawangan Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh Jaya terlibat dalam program GGWS kali yang ke-6 pada tahun ini.

Sebanyak 700 anak pokok nadir spesies durian hutan (durio zibethinus), bruas (garcinia hombroniana), petai (parkia speciosa), kundang rumenia (bouea oppositifolia), sentul (sandoricum koetjape) dan kedondong sengkuang (scutinanthe brunnea) ditanam dalam kawasan seluas 35,000 meter persegi.

Sehingga kini, SASET telah menanam sebanyak 121,012 pokok sekitar Pahang Darul Makmur dengan kerjasama JPNP dan pelbagi pihak lain termasuk NGO, syarikat korporat dan persendirian bagi menghijaukan khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang.- MalaysiaGazette