Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantah cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia  (MTUC)  supaya usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun.

Beliau berkata, keutamaan untuk pekerjaan dan kenaikan pangkat sepatutnya diberikan kepada anak-anak muda berdasarkan merit dan dan bukannya faktor umur semata-mata.

Katanya, perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara maju menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangananak muda di negara ini lebih tinggi iaitu Jepun mencatatkan 3.4 peratus, Singapura 5.9 peratus dan Jerman 6.2 peratus.

“Di Malaysia ada kira-kira 500,000 anak muda yang menganggur (10.7%). Focus on Youths!” kata Syed Saddiq dalam ciapan di laman Twitter.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berhubung perkara tersebut, dan diberitahu bahawa cadangan MTUC itu belum dimuktamadkan lagi.

Setiausaha Agung MTUC J. Soloman dalam cadangan menjelang Bajet 2020 meminta kerajaan menaikkan usia persaraan mandatori 65 tahun bagi membolehkan pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung tempoh persaraan selain mengambil kira purata jangka hayat rakyat Malaysia pada masa hadapan yang dijangka menokok ke 80 tahun.

“Kenaikan had umur itu akan menambah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pekerja berpendapatan rendah sekali gus memastikan warga emas tidak terlalu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat mahupun kerajaan untuk menyara diri,” katanya.

Sehingga kini, had umur persaraan yang ditetapkan untuk pekerja swasta adalah sehingga 60 tahun. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Bajet 2020: MTUC mohon Cola minimum RM500, tingkat umur persaraan