KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi hari ini berbanding penyusutan semalam, dipacu oleh peningkatan permintaan belian terhadap saham wajaran tinggi terpilih akibat harga lebih rendah, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 1.50 mata kepada 1,593.02 selepas dibuka 2.45 mata lebih tinggi kepada 1,593.97 berbanding 1,591.52 yang dicatat sewaktu ditutup semalam.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, menjangkakan sentimen yang ketara di pasaran semalam akan membawa indeks utama kembali ke tahap 1,590.

“Penyusutan ketara berbanding jangkaan awal kami bahawa aktiviti pengambilan untung adalah lebih kecil dan indeks penanda aras itu dapat bertahan sekitar 1,600 mata.

“Namun, selepas penurunan semalam, prestasi Bursa Malaysia dilihat tidak menentu dan kelemahan semalaman indeks global utama juga akan menjejaskan prestasi jangka pendek FBM KLCI.

“Ini berlaku ketika persekitaran pasaran terus suram akibat pertikaian perdagangan AS-China yang memberi kesan terhadap sentimen dengan angka terkini indeks pengurus pembelian yang lemah termasuk di Malaysia.

“Perkembangan ini hanya menguatkan lagi persepsi bahawa persekitaran ekonomi global semakin terkesan akibat bahang pertikaian perdagangan dan ini bagi kami menyukarkan persekitaran pasaran yang lebih positif dalam masa terdekat ini,” kata firma penyelidikan itu.

Berikutan itu, katanya, kelemahan jangka pendek itu dijangkakan berterusan dengan paras sokongan lebih rendah iaitu sekitar tahap 1,580 manakala paras rendah 1,572 mata dan rintangan segera pada 1,600 mata dan sekitar 1,610.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM8.70, Public Bank untung dua sen kepada RM20.10, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM6.81, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM5.80 namun TNB rugi dua sen kepada RM13.74.

Bagi saham aktif, NETX Holdings dan EA Holdings masing-masing kekal satu sen, Priceworth International naik satu sen kepada enam sen manakala Opcom meningkat tujuh sen kepada 61.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 11.88 mata kepada 11,212.50, Indeks FBMT 100 meningkat 12.13 mata kepada 11,053.96 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 14.92 mata kepada 11,736.97.

FBM Ace menokok 14.77 mata kepada 4,457.34 dan FBM 70 menambah 21.98 mata kepada 13,758.05.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.14 mata kepada 15,436.05 dan Indeks Perladangan naik 3.35 mata kepada 6,763.62 manakala Produk dan Perkhidmatan Industri meraih 0.15 mata kepada kepada 147.05.

Di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 129 berbanding 110 manakala 172 kaunter tidak berubah, 1,526 tidak diniagakan dan 12 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 192.35 juta unit bernilai RM56.85 juta.

— BERNAMA