KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 sesi dialog dan ceramah akan menjadi salah satu daripada slot acara  sempena Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan.

Antara perkara penting yang akan menjadi fokus dalam sesi berkenaan ialah cara untuk menjalankan perniagaan serta langkah untuk meningkatkan mutu produk.

Selain itu, orang ramai yang mengikuti sesi tersebut turut berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai geran-geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan terbabit.

Laman Facebook Halfest memaklumkan orang ramai yang berminat boleh turut serta dalam sesi itu boleh mendapatkan maklumat lanjut di http://www.halfest.com/malaysia/chat-industry-halal/.

 

Halfest 2019 berlangsung di Miecc dari 4 hingga 8 September dengan penyertaan lebih 450 usahawan dan lebih 500 ruang pameran menyajikan pelbagai produk halal berkualiti tinggi kepada pengunjung.

Antara sektor yang diketengahkan sepanjang Halfest Jakim 2019 antaranya makanan,minuman, perbankan islam,takaful, pelaburan patuh syariah, pembungkusan makanan halal, katering, perkhidmatan status halal dan badan keusahawanan. – MalaysiaGazette