Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar membuat pertukaran dokumen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua kiri) selepas selesai sesi perjumpaan memuktamadkan Prosedur Operasi Standard Dokumen (SOP) aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit sambil diiringi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah (kanan) Pahang di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) baharu aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang telah dimuktamadkan dan berkuatkuasa hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, SOP yang telah mengambil kita pandangan pihak berkepentingan mengenakan syarat-syarat yang ketat merangkumi seluruh kegiatan rantai perlombongan.

Jelasnya, ia bermula dari peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan selepas aktiviti itu.

“Pelbagai agensi sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau pun Kerajaan Negeri telah terlibat sejak dari awal penghasilan SOP ini.

“Draf SOP ini juga telah dimuatnaik ke laman sesawang kementerian untuk membolehkan memberikan komen-komen untuk penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat kementerian bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi memuktamadkan prosuder SOP baharu aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri itu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Xavier menambah, kerjasama pihaknya dengan Kerajaan Negeri Pahang turut merangkumi aspek memastikan pelaksanaan perlombongan secara berterusan dan mengurus permohonan secara teratur berhubung aktiviti aktiviti pengilangan dan pengeksportan bauksit.

Menurut beliau, kerjasama juga melibatkan penguatkuasaan ke atas ketidakpatuhan prosedur- prosedur dalam SOP ini mengikut bidang kuasa masing-masing dan melaksanakan pemantauan bersama.

“Dokumen SOP ini telah pun diteliti oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, wakil pemain industri dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menilai secara bebas dan holistik dokumen SOP untuk mewujudkan aktiviti perlombongan mampan dengan mengutamakan perlindungan terhadap alam sekitar serta masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya bersetuju dengan SOP baharu itu dan akan memberikan komitmen tinggi dalam menguatkuasakannya. – MalaysiaGazette