Simon McMenemy

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Simon McMenemy meletakan kesalahan Liga 1 Indonesia sebagai punca kekalahan pasukan kendaliannya kepada Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada malam tadi.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, keletihan akibat pertandingan di Liga 1 menyebabkan sukar buat beliau mempersiapkan pasukan dengan baik.

Namun dia enggan menyalahkan kekecohan yang dicetuskan penyokong sebagai punca kekalahan

“Di Liga Indonesia, pemain beraksi tiga kali seminggu. Anak buah saya berada dalam keadaan letih. (Stefano) Lilipaly beraksi dengan kerap. Begitu juga Andik (Vermansah).

“Malah kita kehilangan Ricky Fajrin akibat kecederaan dan terpaksa diganti. Saya enggan memberikan alasan, dan menerima kekalahan ini,” ujar McMenemy dalam sidang media selepas perlawanan.

Malah McMenemy turut meminta maaf kerana persembahan pasukannya yang hambarpadai babak kedua walaupun bermula dengan baik pada babak pertama perlawanan.

“Di babak kedua, pemain mulai kepenatan, mental juga keletihan. Kerana itu pemain sukar bermain dengan baik, dan mereka sudah menampilkan kemampuan terbaik mereka. Malah pemain sentiasa berlari sepanjang perlawanan sehingga tidak mampu untuk berlari lagi.

“Tamat sahaja perlawanan, pemain terus rebah kerana keletihan,” ujar McMenemy lagi.

Justeru, McMenemy berharap Liga 1 di Indonesia boleh dijalankan bersesuaian dengan keperluan pasukan kebangsaan negara itu untuk pertandingan antarabangsa pada masa datang. – MalaysiaGazete