Beberapa pemimpin DAP dikatakan akan menyertai MCA namun desas-desus itu dinafikan pemimpin DAP.

PETALING JAYA – Hubungan antara DAP dengan akhbar bahasa Cina Sinchew Daily semakin retak apabila pejabat Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng mengeluarkan satu artikel yang mengutuk akhbar itu sebagai “mahir dalam mencipta berita palsu.”

Artikel penuh bidasan daripada DAP itu juga disiarkan secara penuh oleh Sinchew Daily dengan tajuk “Satu-satunya matlamat Sinchew ialah menumpaskan DAP.”

Dalam siarannya, akhbar itu juga meminta para pembaca untuk menilai sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut yang dilemparkan oleh pejabat Setiausaha Agung DAP.

Menurut artikel itu, Sinchew Daily sejak pertukaran kerajaan pada 2018 telah berusaha untuk memberi tamparan kepada DAP dengan membawakan emosi perkauman.

“Selama setahun, barisan atasan Sinchew telah memfitnah DAP sebagai tidak mempertahankankan masyarakat Cina dan pendidikan Cina.

“Sinchew sebenarnya telah mewarisi agenda Barisan Nasional (BN) selama ini, iaitu menumpaskan DAP,” demikian menurut artikel daripada pejabat Setiausaha Agung DAP yang turut disiarkan dalam Sinchew Daily.

Menurut artikel itu, usaha Sinchew menyerang kerajaan Pusat Pakatan Harapan adalah selari dengan serangan ke atas kerajaan DAP Pulau Pinang selama 10 tahun sebelum ini.

Menurut rencana itu lagi, Sinchew mempunyai DNA yang tidak neutral kerana sejarah akhbar itu mempunyai kaitan dengan BN.

“MCA telah membeli Nanyang Siang Pau sebelum menjualkannya kepada Sinchew dan seterusnya membawa kepada pembentukan Media Chinese International Limited, kumpulan media yang hampir memonopoli perniagaan akhbar Cina di Malaysia.

“Sinchew harus mencermin diri, ia adalah akhbar yang propembangkang.”

Karangan oleh pejabat Setiausaha Agung DAP itu juga mendakwa Sinchew “mahir dalam mewujudkan berita palsu.”

Artikel itu mendakwa keadaan itu wujud semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan di mana Sinchew menghasut pengundi untuk membenci Guan Eng dengan memetiknya sebagai berkata “cari saya selepas DAP menang.”

Selain itu, Sinchew juga didakwa cenderung melapor daripada perspektif media Singapura berhubung isu ruang udara di Pasir Gudang dengan mengabaikan kenyataan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurut rencana itu, Sinchew bersikap selektif dalam mempertahankan kepentingan orang Cina termasuk “berprofil rendah” apabila Guan Eng dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas tindakan segelintir pihak yang mahu memboikot produk daripada orang bukan Islam.

“Demi menjatuhkan DAP, Sinchew banyak kali menyiarkan berita palsu.

“Akhbar ini bersama dengan pembangkang dan Utusan Malaysia telah memecah belah kaum, ia tidak mempunyai kelayakan dari segi moral untuk menumpaskan DAP, ” kata rencana itu.

Hubungan keruh antara Sinchew Daily dengan Guan Eng boleh dijejak semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Penggantinya, Chow Kon Yeow pernah menyatakan azam untuk memperbaiki hubungan kerajaan negeri dengan akhbar Cina. – MalaysiaGazette