Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima potret gambar sebagai cenderamata daripada Presiden Dewan Perniagaan & Industri India Kuala Lumpur & Selangor (KLSICCI), Datuk R Ramanathan (empat kiri) sambil diiringi Naib Presiden KLSICCI, T.Selvam Subramaniam (empat kanan) pada 90 Years Anniversary Premier Business Awards 2019 di Nexus Connexion, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkaji semula beberapa dasar-dasar ekonomi negara yang tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan negara.

Penegasan Presiden PKR itu menyusul rentetan Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan negara yang tidak menunjukkan data atau keadaan sebenar.

Walaupun ia dinafikan kerajaan dan kementerian berkaitan,  Anwar berkata, beliau mengambil serius pendedahan PBB itu sambil menegaskan dasar dasar ekonomi sedia ada negara ternyata gagal menangani kemiskinan dan merupakan bencana terbesar negara.

“Untuk mengenal pasti isu itu ke arah langkah penyelesaian tetap, saya mendesak suoaya kerajaan terutama EPU dan menteri berkaitan hal ehwal ekonomi mengenal pasti masalah dasar-dasar yang gagal.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas 40 tahun pelaksanaannya masih tidak mampu untuk mengenalpasti dan menangani kemiskinan dalam kalangan rakyat khususnya Melayu.

“Maka dasar ekonomi negara sedia ada perlu dikaji semula secara menyeluruh,. ia umpama apabila anda didiagnos dengan salah, sedangkan kaki kiri cedera parah, tapi anda memotong kaki kanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Anugerah Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) di Nexus Connection Bangsar malam tadi.

Turut hadir Presiden KLSICCI Datuk R. Ramanathan; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar; dan Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, Prof Dr. R. Ramasamy.

Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan berkata, walaupun kenyataan PBB itu satu penemuan bersifat umum tanpa disokong data terperinci namun perkara itu  perlu ditangani segera oleh kerajaan dengan kajian mendalam disusuli penyelesaian drastik dan segera.

“Jika kita teliti kawasan Parlimen saya, mungkin ia juga akan menunjukkan kadar kemiskinan penduduk tinggi di sana,” ujarnya.

Ogos lalu, Pelapor Khas Kemiskinan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan Malaysia 0.4 peratus pada tahun 2016 sebagai angka tidak realistik kerana didakwa meletakkan penanda aras yang rendah.

Beliau sebaliknya mendedahkan bahawa kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus sehingga Ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat termasuk pemimpin kerajaan namun dinafikan.

Justeru kata Anwar, pada asasnya pembangunan ekonomi negara selama ini merupakan dasar lama yang berasaskan kaum semata mata.

“Kita selepas ini perlu bergerak ke arah agenda ekonomi baharu yang mengutamakan keperluan rakyat dan pembangunan negara.

“Ini bermaksud kerajaan perlu mengambil segala usaha dan kaedah untuk memperkasa ekonomi dan menarik pelaburan sejajar revolusi industri 4.0.

“Maka setiap agenda yang disusun kerajaan untuk rakyat miskin perlulah jelas dan bersasar,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette