Datuk Seri Anwar Ibrahim

GEORGE TOWN – Kunjungan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kota Belud, Sabah pada 17 Sept ini sebagai memenuhi jemputan daripada komuniti Bajau di negeri itu, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berikutan itu, beliau menolak spekulasi bahawa kunjungan Anwar bersama beberapa pemimpin parti itu ke Sabah untuk menghadiri majlis merekrut atau menerima anggota baharu PKR.

“Kita dijemput pada 17 Sept ke Kota Belud oleh komuniti Bajau. Kita tahu Sabah mempunyai pelbagai etnik berbeza, mereka menjemput Datuk Seri Anwar dan juga lain-lain pemimpin parti.

“Sebagai presiden parti dan sebagai seorang pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar dijemput oleh pelbagai kalangan. Kali ini beliau menerima jemputan dari Sabah, bukan majlis penerimaan anggota (baharu) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan spekulasi yang tersebar luas mengenai bekas menteri Kabinet Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang dikatakan akan menyertai PKR.

Portal itu turut melaporkan Ketua Penerangan United Sabah National Organisation (USNO) Musli Oli sebagai berkata dua pemimpin itu adalah antara sebilangan pemimpin penting komuniti Bajau di Sabah yang akan mengambil langkah berkenaan.

Pada Disember tahun lepas, Salleh serta Pandikar Amin mengumumkan keluar dari UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas, dan mereka adalah antara sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast