SHAH ALAM – Seorang warga emas bertindak membunuh diri dengan mengelar lehernya, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tali Air Sawah Sempadan, Tanjong Karang, dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, DSP Noor Janihan Nanyan berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2.30 pagi itu, warga emas berusia 66 tahun yang membawa kereta jenis Mercedes Benz, mati di tempat kejadian.

“Seorang lagi individu bernama Muhammad Fadzli Muhammad Yusari, 40, memandu kereta jenis Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan berkenaan, juga maut akibat kecederaan parah di kepala.

“Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Muhammad Fadzli telah melanggar kereta warga emas berkenaan, yang berhenti di tengah-tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Noor Jahinan, akibat pelanggaran itu, kereta dipandu Muhammad Fadzli yang datang dari arah Rawang menuju ke Tanjong Karang, tercampak ke dalam parit.

“Selepas kejadian itu, warga emas terbabit mengelar lehernya hingga beliau mati di tempat kejadian. Muhammad Fadzli yang parah di bahagian kepala juga disahkan meninggal di lokasi kejadian,” katanya.

Bernama difahamkan warga emas berkenaan mempunyai masalah gangguan mental dan terdapat beberapa saksi di tempat kejadian, melihat beliau mengelar lehernya sendiri.

Noor Janihan berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama