KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengecualikan pasukan keselamatan daripada cadangan untuk menghentikan pelantikan baru dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan pencen.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, terdapat keperluan untuk mengkaji kemungkinan itu memandangkan polis dan tentera memerlukan kesinambungan dalam menjalankan tugas mereka.
“Cadangan untuk skim baru itu akan melibatkan pelantikan masa depan kepada perkhidmatan awam dan ia tidak akan menjejaskan tenaga kerja sedia ada.
“Malah, kami akan menjalankan kajian menyeluruh sama ada polis dan tentera perlu dimasukkan dalam skim baru. Keputusannya akan dibuat pada tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Unit Tindakan Khas Bukit Aman hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan meningkatkan gaji anggota polis, Ismail berkata, kerajaan masih menjalankan kajian penstrukturan gaji dan perlu melihatnya dari segi keupayaan kewangan.
“Bagaimanapun, kami akan membuat penambahbaikan dari segi elaun dan aset untuk polis dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam ucapannya, Ismail berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri akan membincangkan untuk mewujudkan inisiatif yang lebih baik dalam meningkatkan elaun dan latihan untuk UTK, selain mempertimbangkan permintaan polis untuk meningkatkan jumlah UTK daripada 409 kepada 888.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, UTK menerima elaun berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka.
Dari tempoh setahun hingga 10 tahun, jumlah elaun yang diterima adalah RM600; 11 hingga 15 tahun RM750 dan 16 tahun ke atas RM900.
“Kami berharap kerajaan dapat mengkaji semula elaun untuk memastikan ia sesuai untuk kakitangan pasukan khas, dengan kepakaran dan tanggungjawab mereka yang besar.
“Perkara ini pernah dikemukakan untuk semakan pada tahun 2014 tetapi tiada tindakan,” ujarnya yang berharap jumlah UTK ditingkatkan termasuk penambahbaikan aset-asetnya. – MalaysiaGazette