Seramai 44 murid -murid SKBSB yang menyertai persembahan akhir Sir It Right.

KUALA LUMPUR – Program bahasa Inggeris Say It Right( SIR) yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya (SKBSB) selama empat bulan berjaya mencapai objektifnya apabila murid-murid yang menyertainya semakin yakin bertutur dan berinteraksi dalam bahasa tersebut.

Bagi tahun ini, sesi itu bermula dari April hingga Julai dan telah menutup tirainya pada 24 Ogos lepas selepas 44 orang murid Tahap 1 melakukan persembahan terakhir di Auditorium Raja Tun Uda, Shah Alam baru-baru ini.

Program ini diasaskan oleh sukarelawan Mimi Azrin Abu Bakar bersama-sama Syariza-Annur Idris dan Muhammad Ikhwan Akmal Mohd Yusoff bagi memberi keyakinan kepada murid-murid di sekolah berkenaan berkomunikasi dalam bahasa kedua itu.

Pelbagai persembahan dalam beberapa kategori diadakan antaranya ialah, Choral Speaking, SIR Buletin (membaca berita), bercerita, 1 minit pengucapan awam dan ‘duta’ dari pelbagai negara luar seperti India, Thailand, Jerman dan Scotland.

Mimi Azrin Abu Bakar

Mimi Azrin berkata, selepas empat bulan dilatih dengan pelbagai kemahiran pengucapan awam melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, murid-murid ini telah menunjukkan perubahan yang ketara.

Mereka bukan sahaja berkeyakinan tinggi, malah memiliki kualiti seorang pemimpin dalam kalangan murid-murid yang menyertai SIR.

Menurut Mimi Azrin, tiada yang lebih membanggakan daripada melihat anak-anak dapat menyampaikan persembahan dengan baik dan berkeyakinan di atas pentas.

Aksi seorang murid yang membuat persembahan akhir SIR.Bagi menjayakan SIR, mereka juga dibantu oleh beberapa sukarelawan yang terdiri dari ibubapa, guru-guru SKBSB dan
pertukaran pelajar dari Perancis serta Jepun yang merupakan peserta AFS.

“Kami sangat berhati-hati memilih pendekatan dan aktiviti yang akan digunakan dan harus memastikan ia bersesuaian
dengan peringkat umur mereka. Ini kerana kami tidak mahu anak-anak merasa tertekan sewaktu melakukan aktiviti tersebut,” katanya.

Guru Besar SKBSB, Suzanah Md Aminga berharap program SIR ini dapat diteruskan kerana sekolah berkenaan adalah
satu-satunya sekolah rendah yang menawarkan Dual Language Programme bagi daerah Hulu
Selangor.

Katanya, program seumpama ini dapat membantu anak-anak di kawasan luar bandar ini menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik. – MalaysiaGazette