PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM
IPOH – Seramai 29 orang dipercayai terkandas semasa mendaki gunung di Tumang Batak, Gunung Liang, Sungai Dara, Muallim, di sini sejak lewat petang semalam.

Mangsa terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita yang datang dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Cheras, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kesemua mangsa sedang diselamatkan pasukan penyelamat dalam operasi yang bermula sejak pukul 6.15 petang.

“Operasi menyelamat terdiri daripada kekuatan lima pegawai dan 10 anggota polis, 24 orang Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), dan tujuh orang daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata seramai 18 orang daripada mangsa telah berjaya dikeluarkan ke tempat selamat, manakala selebihnya masih dalam usaha untuk diselamatkan oleh pasukan menyelamat, setakat pukul 11 malam.

Sementara itu, jurucakap JBPM Perak berkata pihaknya mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi kejadian, sebaik menerima panggilan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya pasukan Bomba di lokasi kejadian mendapati terdapat mangsa terperangkap di seberang sungai, disebabkan arus air deras dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke kaki bukit pada pukul 12 malam,” katanya.

— BERNAMA