BERBICARA soal hamparan gelanggang, elok juga kita mengimbau kembali sejarah bagaimana Sukan Sepaktakraw telah mula diperkenalkan ketika ianya mula dicipta oleh Allahyarham
Encik Hamid Mydin.

Pada permulaan permainan ini di tahun 1946 ianya disebut sebagai ‘Sepakraga Jaring’.

Gelanggang pertama yang telah digunakan oleh penciptanya, Allahyarham Encik Hamid Maidin pada ketika itu, hanyalah diatas lapisan bertar di suatu kawasan lapang di atas bekas tapak hospital haiwan di Jalan Pattani, Pulau Pinang.

Beliau telah menggunakan kapur tulis dan telah membuat garisan yang panjangnya 44 kaki manakala lebarnya adalah 22 kaki. Dengan hanya menggunakan tali rami yang diikat kepada
2 tiang yang sedia ada dengan ketinggian 5 kaki 3 inci.

Itulah sejarah ringkas bermulanya gelanggang Sepakraga Jaring. Kemudian ianya dimain diatas tanah yang keras sebagai gelanggangnya. Sepak raga jaring terus popular dan mula pula
dimainkan di atas gelanggang-gelanggang konkrit yang lazimnya dibina pada ketika itu secara gotong royong.

Gelanggang-gelanggang konkrit mula menjadi popular sehinggakan di taman-taman Perumahan kebanyakannya pasti ada sekurang-kurangnya satu gelanggang konkrit tersebut.

Bermula dari situ, lama-kelamaan gelanggang permainan sukan ini telah dinaik taraf menggunakan hamparan gelanggang yang berwarna hijau. Sepakraga Jaring mula diperkenalkan ke Sukan SEAP pada tahun 1965. Namun perbalahan yang panas berlaku pada ketika itu tentang penggunaan nama “Sepakraga Jaring”. Thailand mahu menggunakan nama “Takraw” manakala Myanmar pula mahu menggunakan nama “Chinlone”.

Namun, akhirnya atas suatu kompromi yang dicapai, maka nama “Sepakraga Jaring” telah ditukar kepada “Sepak Takraw” hasil gabungan perkataan “Sepak” dari bahasa Melayu dan “Takraw” dari bahasa Thailand. Kompromi ini telah menyebabkan Myanmar tidak berpuas hati dan telah menarik diri bagi acara Sepaktakraw pada Sukan SEAP 1965.

Hamparan gelanggang berwarna hijau terus digunakan berdekad lamanya sehinggalah apabila Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menjadi Tuan Rumah untuk “ISTAF WORLD CUP” yang pertama pada tahun 2011.

Pada ketika itu, ISTAF dan PSM telah berbincang dan mahu mengangkat Sepaktakraw ke suatu “level” yang lebih tinggi lagi dan telah membuat beberapa “rebranding” terhadap sukan ini termasuklah memperkenalkan warna gelanggang iaitu warna merah yang baru yang telah ditaja oleh MARATHON.

Justeru, saya berharap agar semua warga dan peminat sepak takraw untuk mengimbau kembali sejarah hamparan
gelanggang sepak takraw yang telah bertukar warna dari hijau kepada merah adalah bermula di tanah air kita pada 2011.

Sejak itu, hamparan gelanggang berwarna merah banyak digunakan. Namun, sayugia diingatkan bahawa sehingga hari ini pun, masih kedapatan (di serata dunia) banyak lagi hamparan-hamparan gelanggang berwarna hijau terus digunakan dan tidak pula menjadi salah atau “haram”.

Saya tertanya-tanya apakah benar Encik Abdul Halim Kader, Setiausaha ISTAF yang juga adalah Presiden ASTAF sendiri yang menyatakan bahawa penggunaan hamparan gelanggang
di “STL – 2019” yang berwarna hitam kuning adalah ‘haram’ memandangkan Encik Halim yang saya kenali adalah seorang yang luas pandangan dan sentiasa pula bersedia membantu ke
arah pembangunan dan kemajuan sepak takraw  dunia.

Sesungguhnya, pada awal tahun ini, di dalam salah satu perbincangan “STL – 2019” di antara PSM dan ASTRO ARENA, pihak ASTRO ARENA telah memaklumkan kepada kami bahawa
Syarikat Li-Ning telah bersetuju untuk menjadi ‘Penaja Utama Pakaian’. Malahan Li-Ning juga telah bersetuju menaja beberapa “item” lain yang antaranya adalah menaja 2 set hamparan
gelanggang termasuk tiang dan kerusi-kerusi pengadil.

Maka, disinilah saya telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan warna baru hitam kuning untuk hamparan gelanggang kali ini.

Sesungguhnya, saya telah menyimpan azam yang lama untuk menambah baik sepak takraw dengan suatu keinginan yang tinggi untuk memperkenalkan warna hamparan gelanggang yang secara langsungnya akan melambangkan suatu identiti PSM tersendiri.

Salahkah seorang presiden yang berazam tinggi untuk melahirkan idea-idea baru yang boleh mempromosi suatu identiti baru sukan dan persatuan yang dipimpinnya?

Saya telah lama berazam untuk memperkenalkan hamparan gelanggang yang berwarna hitam kuning iaitu warna PSM sebagai suatu identiti baru gelanggang sepak takraw di tanah
air kita sebagai suatu lagi usaha PSM untuk terus membuat reformasi-reformasi di dalam sukan sepak takraw itu sendiri.

Saya berterima kasih kepada ASTRO ARENA yang telah banyak membantu PSM ke arah reformasi sepak takraw ini yang sesungguhnya telah bermula dengan bantuan merekalah,
maka cita-cita saya secara peribadi untuk memperkenalkan “STL” kini telah pun menjadi kenyataan dan tahun ini merupakan tahun ke 6 berturut-turut “STL” ini dilaksanakan.

Dalam isu warna hamparan gelanggang hitam kuning yang digunakan pada “STL – 2019” kali ini, PSM adalah bertanggungjawab sepenuhnya. ASTRO ARENA tidak ada kena mengena dalam pemilihan warna hamparan gelanggang yang kami gunakan.

Hampir semua hal-hal seperti penentuan bilangan pasukan dan nama pasukan, syarat dan peraturan pertandingan,
jadual-jadual perlawanan dan lain-lain lagi adalah tanggungjawab PSM. Namun, bekerjasama dengan rakan strategik yang professional, banyak perbincangan-perbincangan ke arah
penambaikkan, dibuat bersama contohnya dari segi waktu penyiaran yang sememangnya dalam bidang kuasa ASTRO ARENA. Kerjasama yang harmoni memang wujud di dalam setiap
perbincangan di antara PSM dan ASTRO ARENA.

Jalinan persefahaman yang tinggi dan kerjasama yang erat ini haruslah dipertahankan. Saya akan berbincang dengan sahabat saya, Encik Halim dalam isu ini. Sebagai Timbalan Presiden ASTAF yang selalu bekerjasama dengan Encik Halim selaku Presiden ASTAF, kami sesungguhnya mempunyai hubungan yang baik dan masing-masing amat mengenali satu dengan yang lainnya.

Sesungguhnya, sebelum memberi arahan untuk menggunakan hamparan gelanggang yang berwarna hitam kuning yang boleh mencetuskan suatu identiti baru PSM dan sepak takraw,
saya telah menyemak di dalam “ISTAF Law of the Game” berhubung dengan gelanggang yang terdapat pada perkara pertama iaitu perkara 1 dan dari perkara 1.1 sehingga
1.4 (Law of the Game) sememangnya tidak ada menyentuh langsung tentang warna hamparan gelanggang yang wajib digunakan.

Kami juga telah mengikut spesifikasi gelanggang yang telah ditetapkan dan mengikut undang – undang permainan sepaktakraw rasmi ISTAF.Lagi pun, warna hitam kuning yang digunakan adalah untuk pertandingan-pertandingan di
dalam tanah air kita sahaja. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Datuk Seri Ahmad Ismail, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast