Menteri Industri Utama, Teresa Kok (dua kiri) diiringi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram (kanan) Pengerusi UOA Group, Kong Chong Soon (dua kanan) melakukan gimik perasmian pada sidang media Kempen Sayangi Sawitku di Nexus Bangsar, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Selepas dipromosikan secara besar-besaran mengenai faedah penggunaan minyak kelapa sawit merah kepada kesihatan, lebih ramai rakyat Malaysia kini beralih kepada minyak masak tersebut bagi menggantikan minyak masak import.

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok berkata, beliau gembira apabila dimaklumkan penjualan minyak kelapa sawit merah semakin meningkat.

“Selepas kita promosikan minyak kelapa sawit merah mengandungi lebih banyak khasiat dan baik untuk kesihatan, saya dimaklumkan penjualan minyak kelapa sawit merah seperti Carotino meningkat.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran terperinci mengenai peningkatan jualan minyak sawit berkenaan.

“Saya bangga untuk mengatakan minyak kelapa sawit mempunyai lebih banyak zat.

“Sebelum ini golongan berpendapatan menengah tinggi kebanyakannya suka membeli minyak import tetapi apabila mereka mengetahui mengenai khasiat minyak kelapa sawit merah, mereka mula bertukar,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan poster Sayangi Sawitku di Nexus, Bangsar South dekat sini hari ini.

Kempen tersebut dijalankan dengan kerjasama UOA Development Bhd.

Minyak sawit, terutamanya minyak kelapa sawit merah atau red palm olein mengandungi Vitamin E dipanggil tocols iaitu tocopherols dan tocotrienols, serta karotenoids yang merupakan sumber penting untuk pemakanan yang sihat.

Minyak kelapa sawit merah dilaporkan mengandungi antara 700-1,000 ppm tocols manakala 500-1,500 ppm karotenes.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menggalakkan rakyat Malaysia meminum sesudu minyak sawit sehari bagi menjaga kesihatan.

Teresa dalam ucapannya sebelum itu berkata, kementeriannya bersama agensi dan kementerian lain akan terus berhubung dengan pemegang taruh di Eropah bagi memberi pencerahan bersandarkan fakta saintifik terhadap semua dakwaan palsu mengenai minyak sawit. – MalaysiaGazette