Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bercakap kepada media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Unit Transformasi Kaum India (MITRA) di Cyberview Lodge. foto IQBAL BASRI, 10 SEPTEMBER 2019

CYBERJAYA – Kempen boikot barangan bukan Islam adalah aktiviti yang tidak sesuai kepada masyarakat majmuk di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), P. Waytha Moorthy.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, katanya, perkara itu akan meruntuhkan sikap bersatu padu yang telah lama menebal di jiwa masyarakat di negara ini.

“Kita telah lama hidup bersatu padu dan negara kita aman damai, rakyat saling hormat menghormati jadi kita harus teruskan sikap bersatu di kalangan masyarakat.

“Rakyat kena teruskan semangat Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan mengamalkan sikap terbuka kepada masyarakat,” katanya ketika menghadiri Persidangan meja bulat Unit Transformasi Kaum India (MITRA), di Cyberview Lodge Resort, hari ini.

Waytha diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang berkata kempen boikot barangan bukan Islam boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Malah katanya kempen seumpama itu turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan.

Penghujung Ogos lalu, terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Islam dan membeli produk keluaran Bumiputera (Buy Muslim First).

Tindakan itu mendapat kritikan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu.

Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyifatkan perkara berkenaan hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada sesiapa, kata

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya meraikan kepelbagaian masyarakat dan memanfaatkan kekuatan bersama, terutamanya dalam soal ekonomi. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. kami tak boikot barangan non muslim. tapi agama islam suruh beli barang halal dan tiada syak. jadi utk itu kami beli la barangan muslim yg dah terjamin dan tiada syak lagi. kami pun pakai vacum keluaran non muslim. kami pakai seluar dan baju yg non muslim . …. jgn spin pulak atau salah tafsir. saja je kan nak kerohkan keadaan

Comments are closed.