Festival percuma Made-in-Malaysia anjuran AirAsia Foundation.

KUALA LUMPUR – AirAsia Foundation dengan kerjasama REXKL akan menganjurkan festival percuma Made-in-Malaysia dari 14 hingga 15 September 2019 sempena meraikan Hari Malaysia.

Bertempat di REXKL, di tengah-tengah lokasi bersejarah Kuala Lumpur, festival tersebut akan mengetengahkan pelbagai tarikan kebudayaan Malaysia sebagai satu wadah tumpuan.

Lebih daripada 20 aktiviti unik yang menarik ditawarkan termasuk bengkel Tarian Singa kanak-kanak, kelas seni mempertahankan diri, kelas kaligrafi dan kelas masakan juadah tempatan.

Selain itu, terdapat juga aktiviti bersama Duta Makanan Pelancongan Malaysia Datuk  Chef Wan serta pengarah filem Tan Yew Leong, ahli muzik dan komposer Pete Teo, serta pengarah filem dokumentari Indrani Kopal.

Bukan sekadar acara hujung minggu, festival Made-in-Malaysia bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia serta mempamerkan negara kita yang berbilang kaum sebagai tarikan yang pelbagai kepada para pelancong.

“Festival ini bertujuan untuk meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.

“Dengan mempromosikan budaya yang berbeza dan memupuk semangat kemasyarakatan, kami berharap untuk mewujudkan suasana di mana semua rakyat Malaysia berganding bahu untuk maju ke hadapan dan berjaya,” kata Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata,

REXKL, di 80 Jalan Sultan, Kuala Lumpur, merupakan sebuah bangunan ikonik yang dikenali sebagai Pawagam Rex, kini telah diubah menjadi sebuah hab kreatif dan keusahawanan pelbagai budaya.

Ia juga merupakan hab AirAsia Foundation Destination: GOOD, sebuah butik yang mengetengahkan lebih 400 jenis barangan yang dihasilkan secara beretika daripada lebih 30 buah perusahaan sosial di rantau Asean.

Bukan sekadar sebuah butik, Destination: GOOD bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dan melancong secara mampan, selain menjadi sebuah hab bagi memupuk kerjasama antara usahawan sosial Asean dan perusahaan berasaskan komuniti. – MalaysiaGazette