Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh dan seorang Lans Koperal polis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melepaskan seorang pegawai polis daripada kes khalwat.

IPOH – Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh dan seorang Lans Koperal polis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melepaskan seorang pegawai polis daripada kes khalwat.

Tempoh reman bagi hakim berusia 37 tahun dan anggota polis berumur 30 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, N.Nageswari.

Menurut peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah, yang mewakili hakim berkenaan, anak guamnya itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 11.30 malam tadi di sebuah kedai makan di Desa Chemor di sini.

Katanya penahanan hakim itu berhubung kes menerima suapan RM4,000 bertujuan melepaskan kes khalwat seorang Inspektor polis yang kini dalam perbicaraan.

Sementara itu, anggota polis terbabit ditahan pada 1.45 pagi tadi di Balai Bukit Merah di sini tempat dia bertugas kerana bersubahat dengan hakim tersebut.

Siasatan ke atas kedua-dua individu berkenaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA