Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan koc Business Class bagi perkhidmatan tren elektrik terbaharunya ETS2, bulan depan.

Koc kelas perniagaan yang eksklusif itu merupakan salah satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka khas sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, koc itu akan dilengkapi kemudahan yang kondusif, seiring jenama kelas perniagaan tersebut.

“Ini termasuk tempat duduk yang luas dan selesa berbanding koc biasa serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus bagi koc kelas perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan (travel kit), Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB.

Tiket-tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Oktober itu, akan dijual mulai 8.30 pagi, 12 September ini.

Tambahnya, perkhidmatan ETS amat popular dalam kalangan penumpang KTMB dan sepanjang tahun lepas, sejumlah 3.91 juta orang telah menggunakannya.

“Sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta orang telah menaiki ETS, purata 10,400 penumpang sehari,” tambahnya.

Penambahan set-set tren ETS2 itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam berasaskan rel.

Dua perkhidmatan tren terbaharu tersebut menjadikan keseluruhan 38 perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari.

Ia sebahagian daripada sembilan set tren ETS2 yang bakal diterima peneraju perkhidmatan rel nasional itu secara berfasa sehingga suku pertama tahun depan.

Sempena pengenalan koc terbaru itu, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala di antara KL Sentral dan Ipoh, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral – Padang Besar.

Promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Oktober sehingga 30 November 2019.

Warga emas, pesara kerajaan dan isteri, Orang Kelainan Upaya (OKU), kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran. – MalaysiaGazette